Anda di sini

Bidayuh perlu beri sokongan padu kepada Adenan: Austin

Advertisement

KUCHING:Komuniti Bidayuh perlu memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada bakal Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem sama seperti sokongan yang diberikan kepada Pehin Sri Abdul Taib Mahmud selama ini.

Temenggung Austin Dimin berkata Adenan merupakan pemimpin yang  berkaliber, mesra rakyat dan lebih penting memahami keperluan rakyat khususnya di luar bandar.

“Tiada sebab komuniti Bidayuh tidak memberi sokongan kepada Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem sama seperti yang diberikan kepada Taib selama ini kerana beliau seorang pemimpin politik Sarawak yang sangat berpengalaman, mesra rakyat dan tahu keperluan rakyat khususnya di luar bandar.

“Adenan antara pemimpin politik yang pandai bertutur dalam banyak dialek dan tidak sombong, menjadikan beliau Ketua Menteri bukan hanya untuk Melayu tetapi semua kaum termasuk Bidayuh,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau menambah, pemilihan serta pelantikan Adenan memang tepat kerana Adenan yang ketika ini  merupakan Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu tahu sejarah pembentukan Sarawak, keperluan semua lapisan masyarakat serta tegas berhubung hak-hak rakyat lebih-lebih lagi peribumi di negeri ini.

Menurutnya lagi pelantikan Adenan merupakan kesinambungan usaha Taib membangunkan masyarakat pelbagai kaum dan kesan pembangunan di kawasan Bidayuh sudah mula dinikmati walaupun agak terlewat berbanding di kawasan-kawasan lain.

“Tidak ada gunanya untuk kita tidak menyokong pucuk kepimpinan negeri atau lebih tepat kerajaan BN kerana perbuatan itu hanya akan merugikan generasi akan datang.

“Bidayuh harus belajar daripada kesilapan yang pernah berlaku sebelum ini, tambahan kita hanya komuniti minoriti di Sarawak.

“Siapa Ketua Menteri, itu tidak penting yang mustahak beliau mewakili semua kaum dan saya sebagai pemimpin akar umbi yakin Adenan tidak akan mengabaikan komuniti Bidayuh,” ujarnya.

Pada 12 Februari lalu Taib mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak berkuat kuasa 28 Februari ini dan menamakan Adenan sebagai penggantinya.

Adenan, 70, akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 28 Februari ini sekali gus menyaksikan Taib meletak jawatan berkuat kuasa pada tarikh tersebut.

Sementara itu Adenan dalam satu sidang media pada 14 Februari lalu memberitahu bahawa beliau akan berlaku adil terhadap semua kaum dan rakyat di negeri ini sambil menambah beliau adalah Ketua Menteri untuk semua rakyat Sarawak.

Advertisement