Anda di sini

Stadium mini bakal dibina di Engkilili pada tahun hadapan

Advertisement

TERIMA KASIH: Dr Rayong (dua kiri) dan Nyalau (tengah) menerima cenderamata daripada Kolok dan Alta pada majlis itu.

SRI AMAN: Masyarakat di Pekan Engkilili bakal menikmati kemudahan sukan baharu berupa sebuah stadium mini yang bakal dibina daerah kecil itu pada tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata kos membina stadium mini itu sejumlah RM27 juta.

Beliau berkata, permohonan bagi membina stadium mini itu sudahpun dimasukkan dalam pelan pusingan keempat Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Menurutnya, apabila stadium mini itu siap kelak agensi kerajaan seperti Jabatan Pendidikan yang kerap menganjurkan kejohanan sukan tidak menghadapi masalah lagi.

“Saya difahamkan apabila jabatan kerajaan hendak mengadakan kejohanan sukan terpaksa menggunakan stadium di Sri Aman.

“Tetapi, dengan terbinanya stadium mini di Engkilili nanti, maka masalah itu dapat diselesaikan,” katanya pada majlis penangguhan rasmi sukan dan permainan Zon Engkilili di Padang Kompleks Sukan Sri Aman semalam.

Sebanyak 15 buah sekolah kebangsaan termasuk sebuah sekolah Chung Hua Zon Engkilili menyertai kejohanan itu.

Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

Pada majlis itu, Nyalau dan Dr Rayong masing-masing memperuntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) RM10,000 kepada Tabung Zon Engkilili.

Turut hadir Ketua Unit Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Alta Abang Katum, Pengerusi Zon Engkilili, Kolok Laga dan Guru-Guru Besar Zon Engkilili.

Advertisement