Anda di sini

Rakyat di luar bandar harus jimat berbelanja

Advertisement

RASMI: Aaron (kanan) dan Alexander (kiri) sambil diperhatikan Ugap semasa bersama-sama merasmikan PBR di Rumah Labong Bunsu, Nanga Tada, Kanowit.

Ia berikutan peningkatan kos sara hidup akibat kenaikan harga barang yang dipengaruhi pasaran global

KANOWIT: Rakyat di kawasan luar bandar diingatkan supaya berjimat cermat ketika berbelanja memandangkan kos sara hidup kian meningkat.

Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang berkata, peningkatan kos sara hidup ketika ini membabitkan pelbagai barang naik harga bukanlah disebabkan oleh kerajaan.

“Kenaikan harga barang bukanlah disebabkan kerajaan tetapi ia disebabkan harga pasaran global.

“Kerajaan tidak mampu mengawalnya tetapi kerajaan mempunyai cara lain untuk membantu menaikkan taraf kehidupan rakyat. Jangan disebabkan harga barang naik terus menyalahkan kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Jalan Simen dan Projek Bantuan Rumah (PBR) di Rumah Labong Bunsu di Nanga Tada di sini, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent, Penghulu Ugak Seribu, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Ngemah Jelani Ajang dan Pegawai Jabatan Penerangan Daerah Kanowit Wan Mohd Zuki Wan Ismail.

Beliau memberitahu lagi, kerajaan sedaya upaya akan memastikan tahap kehidupan rakyat lebih selesa melalui pelbagai agenda dan perancangan pembangunan yang disalurkan.

Aaron berkata, kerajaan juga akan fokus kepada penyelesaian masalah rakyat bagi menjayakan agenda pembangunan kerajaan secara lebih holistik dan menyeluruh.

“Berilah sokongan anda semua dan kerjasama kepada kepimpinan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kesinambungan pembangunan yang berterusan,” tegasnya.

Sementara itu, beliau menggesa rakyat agar sentiasa peka dengan isu-isu semasa bagi mengelakkan diri mudah terpedaya dengan cakap-cakap pihak pembangkang.

“Pengetahuan tentang isu-isu semasa ini sangat penting kerana ia merupakan landasan yang baik untuk kita mengetahui apa yang berlaku di sekeliling kita,” tambahnya.

Advertisement