Anda di sini

Pesta Pantai Belia 2014 di Miri pada 23-25 Mei

Advertisement

MIRI: Persatuan Belia Miri (PBM) akan menganjurkan Pesta Pantai Belia 2014 yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Mei akan datang di Pantai Esplanade, Luak Bay Miri.

Pengerusi PBM Matasan Rohani berkata pelbagai acara menarik disusun atur untuk menghidupkan suasana hujung minggu penduduk Miri dan dijangka dihadiri 10,000 pengunjung.

“Kami menyusun pelbagai acara sukan dan acara hiburan termasuk menjemput beberapa artis tanah air untuk memeriahkan acara pentas,” katanya di sini semalam.

Beliau memberitahu, bagi acara pantai antara aktiviti diadakan termasuk sukaneka kanak-kanak dan dewasa, pertandingan futsal pantai, bola tampar pantai dan bola jaring pantai.

Di samping itu, turut diadakan pertandingan layang-layang, tarik tali, gotong- royong ‘beach’ kasih dan bola jaring pantai.

Bagi acara pentas pula, antara aktiviti diadakan ialah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, ceramah kesedaran, fiesta zumba, malam kebudayaan dan pertandingan bermukun.

Selain itu, turut diadakan ialah ratu belia, pertandingan karaoke dan persembahan artis tanah air dari Semenanjung Malaysia dan tempatan.

Antara artis yang dijangka memeriahkan acara pentas ialah Lan & The Typewiter, Muzzy & The Band, Daus Akademi Fantasia, Melissa Francis dan beberapa artis tempatan.

Matasan berkata, majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin.

Manakala majlis penutupan pula disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang.

Beliau memberitahu, pesta pantai kali kedua dianjurkan itu menyasarkan penyertaan daripada para belia dan jabatan kerajaan, swasta dan persatuan-persatuan di sini.

“Kami menyasarkan kehadiran pelancong asing terutama dari Brunei Darussalam dan pelawat dari luar Miri bertambah dengan penganjuran Pesta Pantai Belia 2014 itu,” katanya.

Advertisement