Anda di sini

Peniaga Jonker Walk diminta timbang semula cadangan buka laluan bagi kenderaan

Advertisement

MELAKA: Peniaga di pasar malam Jonker Walk diminta menimbang semula cadangan kerajaan membuka laluan di Jalan Hang Jebat di sini berikutan insiden kebakaran melibatkan sebuah premis berusia 100 tahun, Jumaat lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Datuk Ar Ismail Othman berkata ia perlu berikutan faktor keselamatan bangunan, peniaga dan pengunjung selain memudahkan tugas pihak berkuasa terutama pasukan bomba dan penyelamat untuk memadam kebakaran sekiranya berlaku.

“Kita bersyukur kerana bomba dapat mengawal dan memadam kebakaran daripada merebak ke deretan bangunan bersebelahan. Nasib baik kejadian berlaku di luar waktu puncak pasar malam itu, jika tidak pasti menyukarkan bomba untuk memasuki laluan itu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Laksamana daripada DAP Lai Kuen Ban yang menyalahkan anggota bomba lambat bertindak mengawal kebakaran di premis tersebut yang dilaporkan beberapa akhbar berbahasa Cina sebelum ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam Jumaat lepas, premis menjual makanan tempatan dan tradisional itu musnah dijilat api ketika kawasan pelancongan berkenaan dikunjungi orang ramai.

Sebaliknya, Ismail berkata bomba bertindak pantas sejurus menerima panggilan pada 11.32 malam, namun menghadapi beberapa halangan termasuk kesukaran jentera bomba memasuki laluan di pasar malam tersebut ekoran pembukaan gerai di sepanjang jalan berkenaan.

Beliau berkata bomba juga menghadapi kesukaran mengesan pili bomba bawah tanah yang berada di kawasan tersebut kerana ditutup dengan meja penjaja.

Kerajaan negeri Melaka melalui mesyuarat Exco pada 12 Jun tahun lepas membuat keputusan untuk membuka Jalan Hang Jebat kepada kenderaan bagi melihat kelancaran aliran trafik terutama pada hujung minggu disebabkan rungutan pengguna jalan raya dan pelancong tentang kesesakan teruk di kawasan itu. — Bernama

Advertisement