Anda di sini

Pemohon BTSM diseru salur maklumat peribadi dengan tepat: Robert

Advertisement

SARATOK: Masyarakat yang telah membuat permohonan bagi Bantuan Tanam Sawit Mapan (BTSM) yang dikelolakan oleh pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) diseru agar menyalurkan maklumat peribadi dengan tepat.

Pegawai Jabatan Pertanian Daerah Saratok Robert Mandau berkata, perkara ini penting bagi pihak yang berkaitan membuat penilaian bagi meluluskan permohonan mereka.

Katanya ini terutama bagi memastikan ia mampu diusahakan dengan sebaiknya serta memberi hasil yang maksimum kepada pemohon, di samping mengelak  berlakunya penipuan yang boleh mendatangkan kerugian kepada kedua-dua belah pihak.

“Sehubungan itu, bagi memastiakan kelancaran usaha ini, kami akan menggunakan khidmat ketua masyarakat dan tuai rumah untuk memastikan kesahihan dan kebenaran maklumat-maklumat pemohon bantuan terbabit.

“Dengan khidmat dan pengetahuan mereka yang menjadi pemimpin di peringkat akar umbi, kami akan mendapatkan beberapa maklumat daripada mereka serta mendapatkan dan memastikan maklumat yang diberikan oleh pemohon adalah benar.

“Antara perkara yang diberikan keutamaan penilaiannya bagi setiap pemohon bagi bantuan ini adalah seperti kewarganegaraan pemohon, adakah pemohon memiliki tanah untuk mengusahakan tanaman terbabit, keluasan tanah adalah tepat dan sesuai dengan jumlah yang dipohon oleh pemohon dan lokasi tanah yang diusahakan oleh pemohon,” kata Robert.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sesi dialog bersama pemohon BTSM bagi kawasan Seblak Ulu di Dewan Masyarakat Roban, semalam yang dihadiri kira-kira 100 penduduk.

Pada perbincangan tersebut Robert turut memberi penerangan kepada masyarakat yang hadir bahawa seseorang pemohon yang telah mengemukakan permohonan sebelum ini tetapi kini sudah meninggal dunia permohonan tersebut walaupun telah diluluskan, secara automatik akan dibatalkan.

“Dalam erti kata lain, ia tidak boleh diserah atau dikendalikan oleh warisnya dan jika waris tersebut berminat dia harus membuat permohonan baharu dan bukannya menggunakan permohonan si mati.

“Melalui kesempatan ini juga, kami ingin memaklumkan bahawa aktiviti yang diadakan pada hari ini (semalam) bukannya salah satu proses meluluskan permohonan, tetapi ia adalah proses untuk kita mengemaskinikan data dan maklumat pemohon, bagi mengelak berlakunya sebarang ketidaktepatan maklumat yang telah disahkan sendiri oleh ketua masyarakat dan tuai rumah berkenaan,” jelasnya.

Menurut Robert, proses meluluskan permohonan yang bakal dibuat selepas langkah ini akan dilakukan oleh pihak MPOB dengan menggunakan segala maklumat yang telah dikemas kini tersebut dan juga dengan melakukan pemeriksaan di lokasi yang dinyatakan oleh pemohon.

“Melalui kesempatan ini juga, kami ingin mengingatkan kepada semua yang akan terpilih sebagai penerima bantuan ini agar memanfaatkan kemudahan dan bantuan tersebut dengan sebaiknya.

“Jangan mengambil langkah mudah untuk mendapat keuntungan segera daripada bantuan yang disalurkan dengan menjual bantuan tersebut.

“Sekiranya kami mendapati terdapat pemohon yang mengambil langkah sedemikian rupa kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Kami juga ingin mengingatkan kepada para pemohon, sekiranya sudah mendapat bantuan agar mengusahakan dengan serius dan bersungguh-sungguh.

“Pastikan setiap anak pokok sawit yang telah diberikan itu ditanam manakala bagi baja yang turut diagihkan dimanfaatkan dan bukannya dijual,” tegas Robert lagi.

Advertisement