Anda di sini

Masyarakat luar bandar diseru memanfaatkan kemudahan asas

Advertisement

TEBEDU: Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong menyeru masyarakat luar bandar supaya memanfaatkan sepenuhnya kemudahan asas yang disediakan kepada mereka untuk membangunkan kualiti modal insan dan meningkatkan mutu akademik.

Ini kerana katanya, beliau sedih melihat di beberapa kampung di mana jalan raya yang baharu diturap telah dijadikan sebagai litar lumba motosikal di kalangan anak-anak muda manakala kanak-kanak serta golongan belia di kampung yang baharu dilengkapi elektrik kebanyakannya hanya terpaku di hadapan televisyen.

Amalan tidak baik sedemikian katanya, telah menyumbang kepada kemorosotan keputusan peperiksaan di sekolah-sekolah luar bandar dan ini menunjukkan petanda yang tidak baik bagi masa depan komuniti ini.

“Jika kita tidak membangunkan modal insan seperti anak-anak kita di sekolah pada hari ini, maka apa sahaja keperluan dan kemudahan asas yang disediakan adalah tidak bermakna.

“Maka itu, saya meminta agar ibu bapa memainkan peranan penting dalam membantu guru-guru memberi penekanan kepada pendidikan anak-anak.

“Jika anda semua dapat berbuat demikian, akan lebih ramai anak-anak kita dapat melanjutkan pelajaran ke kolej dan universiti dan secara automatik, keseluruhan kawasan akan maju ke hadapan,” katanya pada Majlis Bertemu Rakyat di Kampung Sejijak Mawang di sini, malam Sabtu lepas.

Sempena majlis itu, Manyin yang juga ADUN Tebedu telah merasmikan jalan penghubung yang baharu dinaik taraf serta jambatan untuk manfaat penduduk di Kampung Sejijak Kebuhu, Sejijak Plaman dan Sejijak Mawang.

Beliau turut menyerahkan pakaian seragam Biro Wanita dan RELA kepada kampung-kampung berkenaan.

Menurut Manyin, komuniti luar bandar boleh menjalankan formula untuk meningkatkan pencapaian akademik anak-anak mereka menerusi kerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pentadbiran sekolah.

Katanya dengan membantu diri sendiri untuk masa depan yang baik, ia sedikit sebanyak akan membalas usaha wakil rakyat yang bekerja keras untuk membawa projek infrastruktur ke kawasan mereka.

“Penduduk adalah bergantung kepada kami sebagai wakil rakyat untuk membawa infrastruktur kepada mereka tetapi terpulang kepada mereka untuk mendidik anak-anak agar cemerlang dalam pelajaran,” katanya.

Mengenai perkara lain, Manyin berkata kawasan-kawasan Bidayuh dari Lundu, Bau, Penrissen, Padawan sehingga Serian sekarang telah menikmati infrastruktur yang baik.

Sehubungan itu, beliau merancang untuk terus meningkatkan lagi laluan penghubung ke beberapa kampung seperti di Kiding, Padawan.

Beliau menambah di konstituensi Tebedu, 100 peratus daripada penduduk Bidayuh telah dihubungkan dengan jalan raya, bekalan elektrik serta air bersih.

Advertisement