Anda di sini

Malaysia dan Indonesia pegang teguh pada resolusi damai: Jusuf

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekas naib presiden Indonesia Dr M Jusuf Kalla optimistik dan yakin Malaysia dan Indonesia tetap berpegang teguh pada saluran damai dan diplomatik dalam menyelesaikan konflik.

Indonesia dan Malaysia tidak akan berperang atau memilih jalan tidak bersifat aman, ujar beliau.

Jusuf menegaskan demikian ketika menyampaikan syarahan umum pertama dalam program Mahathir Global Peace School (MGPS) 2014 dengan tema ‘Resolusi Damai dan Konflik Global’ di Institut Diplomasi dan Perhubungan Luar (IDFR) di sini semalam.

Beliau berkata program seperti MGPS yang melibatkaan penyertaan pemimpin muda Indonesia dan Malaysia memberi impak positif terhadap hubungan Kuala Lumpur-Jakarta.

“Program sedemikian adalah baik untuk masa depan dan untuk kedua-dua pihak kita (Malaysia dan Indonesia),” kata Jusuf.

Beliau berkata pertikaian atau perang antara negara berlaku kerana wujud kebimbangan atau konflik ideologi, ekonomi dan emosi.

“Hubungan diplomasi dan ekonomi antara dua negara dapat mengendurkan ketegangan itu,” kata Jusuf.

Pengerusi Lembaga Muhammadiyah Pusat, Prof Dr M Din Syamsudin yang menyampaikan syarahan awam kedua sependapat dengan Jusuf bahawa program seperti MGPS memupuk hubungan harmoni antara Malaysia dan Indonesia.

Semasa sesi soal jawab, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia dan Indonesia telah dapat menyelesaikan konflik tanpa berlaku pembunuhan satu sama lain. — Bernama

Advertisement