Anda di sini

Laporan kebakaran CRC HUS siap 14 hari

Advertisement

Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak masih siasat punca sebenar kebakaran

KUCHING: Laporan penuh insiden kebakaran bangunan Pusat Kajian Klinikal (CRC) Hospital Umum Sarawak (HUS) akan siap dalam tempoh 14 hari, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohamad.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung punca sebenar kebakaran.

Menurutnya, siasatan awal mendapati insiden dipercayai berpunca daripada kerja-kerja kimpalan di bahagian auditorium bangunan berkenaan.

“Siasatan masih dijalankan dan laporan penuh berhubung insiden ini mesti disiapkan dalam tempoh 14 hari selepas kejadian,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini siasatan kebakaran bangunan CRC HUS yang berlaku petang Sabtu lepas.

Seorang pekerja buruh binaan maut manakala 151 pesakit daripada 10 wad dipindahkan ekoran insiden yang berlaku sekitar jam 5 petang itu.

Menurutnya lagi, pihaknya akan melaksanakan program pemeriksaan menyeluruh untuk melihat kebolehpercayaan sistem amaran kebakaran di HUS.

“Sistem amaran kebakaran di HUS pada masa sekarang memang berfungsi namun kita akan melaksanakan program pemeriksaan menyeluruh bagi melihat kebolehpercayaan sistem selepas insiden,” ujarnya.

Kelmarin Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dipetik sebagai berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) semalam datang ke HUS untuk melakukan siasatan terperinci berhubung insiden tersebut.

Menurutnya, insiden terbabit berkemungkinan besar disebabkan kecuaian di peringkat kontraktor yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Tambahnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan menubuhkan pasukan khas untuk mengenal pasti status kerosakan bangunan memandangkan ia masih dalam proses naik taraf.

Sementara itu Pengarah HUS Dr Abdul Rahim Abdullah berkata, usaha akan diambil untuk menghilangkan bau asap di Jabatan Kecemasan dan Kemalangan (Jabatan A&E) HUS untuk membolehkan ia beroperasi seperti biasa menjelang penghujung minggu ini.

“Saya mahu ia dilakukan dengan segera. Itu sebabnya semalam penapis sistem udara ditukar,” jelasnya.

Menurutnya lagi, setakat ini Jabatan A&E beroperasi seperti biasa tetapi zon merah (kritikal) dan kawasan wad pemerhatian tidak dapat digunakan kerana masih ada bau asap.

“Kita sekarang menggunakan zon kuning (separa kritikal) untuk kegunaan zon merah dan kuning,” kata Dr Abdul Rahim.

Advertisement