Anda di sini

KRT perlu banyak aktiviti melibatkan golongan muda

Advertisement

BERTUAH: Simoi (dua kiri) menyampaikan Skim Perlindungan Takaful Amani bernilai RM50,000 daripada Bank Rakyat Cawangan Sri Aman kepada seorang penerima.

SRI AMAN: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri ini digesa memperbanyakkan aktiviti melibatkan golongan muda agar mereka tahu peranan dalam KRT.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri berkata adalah wajar golongan muda dilibatkan dalam apa juga program KRT bagi memberi peluang kepada mereka belajar serta menimba pengalaman dalam penganjuran pelbagai program.

“Kerajaan amat memandang berat perkara ini kerana belia golongan yang akan mewarisi kepimpinan negara dan pembangunan negeri pada masa depan,” katanya pada Majlis Makan Malam Sekuntum Kasih Sejambak Sayang anjuran KRT Kampung Tengah di sini malam kelmarin.

Menurut Simoi, KRT juga perlu memainkan peranan penting dan bersikap proaktif membendung masalah sosial yang melanda golongan remaja.

“Penglibatan golongan muda dalam pelbagai masalah sosial adalah berpunca kurangnya aktiviti dan program untuk mereka, justeru KRT dan agensi kerajaan lain perlu melibatkan mereka dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

“Program-program KRT bukan hanya difokuskan kepada satu peringkat umur sebaliknya perlu melibatkan semua peringkat dan apa yang penting golongan belia jangan sesekali ditinggalkan,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) menubuhkan lebih banyak KRT di kawasan DUN Lingga pada masa akan datang.

“Dengan memperbanyak KRT di DUN Lingga, saya percaya banyak program akan dianjurkan di samping KRT juga dapat menjadi penggerak utama pembangunan di peringkat kampung selain Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang sedia ada,” katanya.

Hadir sama Pegawai Tadbir Sarawak Zaidi Sarkawi, Penolong Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman Muhammad Mahdi Mokhtar, wakil Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Zaleha Jamal, Penghulu Abdul Samad Abdul Rahim dan Pengerusi KRT Kampung Tengah Khamisita Wasli.

Pada majlis sama, Simoi mengumumkan peruntukan berjumlah RM2,000 kepada KRT Kampung Tengah untuk tujuan membiayai aktiviti mereka sepanjang tahun ini.

Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan tarian oleh Jiran Muda, lagu tajaan, pertandingan teka jumlah kacang serta berat kek dan pertandingan tetamu paling ‘sporting’ serta Penyampaian Skim Perlindungan Takaful Amani bernilai RM50,000 oleh Bank Rakyat Cawangan Sri Aman kepada tiga pemenang bertuah.

Advertisement