Anda di sini

Kenal pasti pendekatan baharu urus pelanggan, kata Kamalanathan

Advertisement

SUMBANGAN: Kamalanathan menyampaikan sumbangan buku kepada wakil SK Sayed Othman sambil disaksikan oleh Abdul Rahman (kanan) bersama tetamu lain di Miri kelmarin.

MIRI: Warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diharap mengenal pasti pendekatan baharu dalam berurusan dengan pelanggan iaitu semua rakyat.

Timbalan Menteri Pendidikan Kedua P. Kamalanathan berkata pendekatan berkenaan harus sesuai dengan perubahan pemikiran dan latar belakang pendidikan pelanggan yang lebih kritikal.

“Kita juga hendaklah lebih profesional dalam menangani masalah dan kerenah pelanggan serta tahu bagaimana memberi nasihat yang baik kepada mereka.

“Sesungguhnya, kita semua adalah penasihat dan pelaksana dasar-dasar kerajaan,” katanya ketika merasmikan penutupan Hari Bertemu Pelanggan KPM di Bintang Megamall di sini kelmarin.

Kamalanathan berharap melalui pertemuan secara terus dengan pelanggan dapat menyampaikan maklumat berkaitan dasar, program dan aktiviti KPM kepada orang ramai yang mempunyai minat dalam bidang pendidikan di negara ini.

“Aktiviti ini adalah antara saluran yang disediakan oleh kementerian untuk menyampaikan cadangan dan aduan rakyat.

“Saya ingin memberi jaminan bahawa pandangan dan aduan yang diterima melalui aktiviti ini akan diteliti dan dinilai,” jelasnya.

Semua aduan diberi perhatian sewajarnya dengan menyediakan ruang siasatan yang terperinci demi memberi kepuasan kepada semua pelanggan yang merupakan pemegang taruh KPM.

Mengulas tentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang bermula 2013 hingga 2025, Kamalanathan berkata kejayaannya memerlukan penglibatan dan kerjasama semua pihak.

“Pelbagai bentuk strategi dan program pendidikan digubal bertujuan melengkapkan setiap murid di Malaysia dengan kemahiran diperlukan bagi berhadapan dengan cabaran abad ke-21.

“Ia juga sebagai persediaan melahirkan generasi muda yang mampu bersaing dengan negara maju di seluruh dunia,” katanya.

Dalam pada itu, tiga sekolah iaitu SMK Dato Permaisuri, SK Sayed Othman dan SJKC North Miri menerima sumbangan buku Doktor Umum: Memoir Tun Dr Mahathir daripada penganjur.

Hadir sama Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus, wakil Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak Abdul Rahman Bolhassan, Ketua Komunikasi Korporat KPM Baharuddin Mohd Shairi dan Pengerusi Eksekutif Meritz Datuk Lau Siu Wai.

Advertisement