Anda di sini

JPJ Miri keluar lebih 30 saman

Advertisement

PERIKSA: Beberapa anggota JPJ memeriksa lesen penunggang motosikal dalam operasi harian di Jalan Taman Bulatan, Miri semalam.

MIRI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Miri telah mengeluarkan lebih 30 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi harian selama dua jam berhampiran Jalan Taman Bulatan, di sini semalam.

Pegawai JPJ memberitahu, operasi harian terbabit lebih memberi tumpuan terhadap kesalahan rutin yang dilakukan pengguna jalan raya.

Beliau berkata, antara kesalahan yang banyak dikesan ialah tidak memiliki lesen, cermin kenderaan gelap, pengubahsuaian nombor pendaftaran, cukai tamat tempoh dan sebagainya.

Operasi yang disertai sembilan anggota JPJ terbabit mengesan beberapa pengguna jalan raya yang cuba melawan arah tanpa memikirkan keselamatan diri sendiri.

Pegawai JPJ memberitahu, meskipun mereka berjaya meloloskan diri daripada sekatan jalan raya namun tidak bererti mereka terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Kami telah menempatkan beberapa anggota di kawasan strategik supaya tindakan pengguna jalan raya yang cuba melarikan diri tidak terlepas daripada pemerhatian JPJ,” katanya.

Dalam operasi terbabit, JPJ Miri turut mengeluarkan saman kepada kenderaan asing yang dikesan melakukan kesalahan semasa berada di negara ini.

Mengulas lanjut mengenai saman, pegawai terbabit memaklumkan setiap saman atau denda adalah tidak melebihi RM300 dan tidak kurang daripada RM50 bagi setiap jenis kesalahan.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya termasuk warga asing yang melanggar peraturan trafik dan saman serta-merta akan dikeluarkan jika terbukti mereka melakukan kesalahan,” katanya.

Pada masa sama, pegawai itu memberitahu bahawa mereka yang melakukan kesalahan tidak perlu melarikan diri kerana tindakan mereka boleh membahayakan nyawa mereka dan orang lain.

Advertisement