Anda di sini

Gadis ditahan dipercayai bekerjasama dengan penyamun

Advertisement

KES SAMUN: Noor Hashim menunjukkan senjata pisau yang dirampas dengan kejayaan polis menyelesaikan kes samun dengan penahanan tiga lelaki di kawasan Mutiara Rini, Skudai Johor, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya di Johor Baharu, semalam. — Gambar Bernama

NUSAJAYA: Pengadu dalam kejadian samun di sebuah rumah di Taman Nusa Bestari di sini pada 4 Feb lepas ditahan selepas polis mengesyaki gadis berusia 15 tahun itu bekerjasama dengan pelaku samun.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad berkata siasatan polis terhadap laporan yang dibuat pengadu yang masih bersekolah tentang kejadian samun pada jam 8.15 malam itu mendapati laporan itu tidak benar.

“Pengadu dalam kes ini bekerjasama dengan suspek seolah-olah kejadian samun ini benar-benar berlaku. Pengadu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Katanya pengadu melaporkan dia dihubungi bekas teman lelakinya yang berusia 17 tahun untuk berjumpa di belakang rumah dan sebaik membuka pintu, bekas teman lelakinya itu bersama-sama tiga lelaki lain terus menyerbu masuk.

“Pengadu melaporkan bekas teman lelakinya itu meletakkan pisau di lehernya supaya mendiamkan diri sementara rakan-rakannya menyelongkar rumah berkenaan,” katanya.

Noor Hashim berkata bertindak atas maklumat itu polis menahan tiga lelaki pada jam 3.30 petang 6 Feb lepas di kawasan Mutiara Rini dan merampas barangan samun iaitu dua komputer riba, dua telefon bimbit dan barangan kemas.

Berikutan penahanan itu, polis turut menyelesaikan kes samun yang berlaku pada Ogos tahun lepas serta menemui semula barangan kes iaitu sebuah kamera digital Sony, sebentuk cincin serta sepasang subang yang dijual di sebuah kedai di Taman Seri Orkid, Skudai dan dua keping resit kontrak jual beli.

Suspek berusia lingkungan 15 hingga 21 tahun itu ditahan reman dari 14 hingga 20 Feb untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Noor Hashim berkata polis menahan seorang lelaki, berusia 36 tahun dan pasangannya berumur 33 tahun di sebuah hotel bajet di Taman Nusa Bestari pada jam 4.30 petang 14 Feb lepas dipercayai melakukan pecah kereta.

Katanya polis menjumpai 28 jenis barangan dipercayai dicuri dan peralatan untuk melakukan pecah kereta di kawasan letak kereta di Taman Nusa Bestari daripada suspek.

Polis percaya dapat menyelesaikan tujuh kes pecah kereta di sekitar kawasan Nusajaya dan suspek yang didapati positif dadah jenis methamphetamine direman dari 15 hingga 18 Feb untuk siasatan lanjut. — Bernama

Advertisement