Anda di sini

Blok CRC HUS yang terbakar dirancang diserahkan menjelang September 2013

Advertisement

KUCHING: Blok Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) Hospital Umum Sarawak (HUS) yang terbakar pada jam 5 petang Sabtu lalu telah dirancang untuk diserahkan serta dapat diguna menjelang September tahun lepas tetapi ditangguhkan sehingga Mac ini.

Penyelidik Kanan Profesor Dr Sim Kui Hian dalam lawatannya ke CRC berkata, blok CRC itu adalah antara kemudahan yang pertama seumpamanya bagi Kementerian Kesihatan.

Batu asas telah diletakkan sebelum ini oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican pada 2010 sewaktu Dr Sim masih lagi bekerja di bawah CRC di HUS.

“Kebanyakan peralatan penyelidikan ditempatkan sementara di CRC Pusat Jantung HUS (di Kota Samarahan).

“(Disebabkan api) akan ada beberapa perkara yang perlu ditangguhkan tetapi kami masih merancang untuk pembukaan blok penyelidikan itu tidak lama lagi, “ katanya.

Beliau memuji Jabatan Bomba dan Penyelamat atas usaha gigih mereka memadamkan api sewaktu kejadian dan berjaya mengawal api daripada mara ke tingkat bawah auditorium .

Dr Sim juga mengucapkan tahniah kepada kakitangan hospital kerana bukan sahaja memindahkan pesakit tetapi dapat menyesuaikan diri dan menubuhkan Pusat Perkhidmatan Kecemasan dan Kemalangan sementara dengan gangguan minimum.

“Takziah kepada pekerja Indonesia yang terkorban dalam kebakaran itu dan kami akan ingat perkhidmatannya untuk HUS,” kata Dr Sim yang juga konsultan pelawat Pakar Kardiologi Kanan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sarawak ( UNIMAS).

Seorang pekerja Indonesia berusia 30-an dipercayai meninggal dunia akibat terhidu asap selepas kebakaran berlaku di sayap auditorium CRC.

Api dan asap tebal menyebabkan 151 pesakit termasuk bayi dan warga tua dipindahkan dari sembilan wad ke gelanggang tenis dan tempat letak kereta apabila penggera kebakaran berhampiran berbunyi.

Pesakit-pesakit bersama ahli keluarga mereka telah dibenarkan pulang ke wad masing-masing kira-kira 90 minit kemudian selepas bomba memberi lampu hijau untuk masuk semula ke hospital.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada percikan api yang membakar bahan binaan dan sampah diantaranya yang dikatakan mudah terbakar – menyebabkan asap tebal dengan pantas mengisi auditorium kimpalan.

Advertisement