Anda di sini

Beberapa inap desa di rumah panjang akan dinaik taraf

Advertisement

KUCHING: Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan akan menaik taraf beberapa inap desa (homestay) di rumah panjang di negeri ini pada tahun ini, kata Pengarahnya Suriya Charles Buas.

Tambah beliau, inap desa yang dikenal pasti ialah tiga di Kuching, dua di Sarikei dan satu di Sibu.

“Kami telah mengenal pasti beberapa inap desa di rumah panjang yang perlu dinaik taraf supaya infrastrukturnya menjadi lebih baik dan menarik sekali gus meningkatkan kedatangan pelancong.

“Antaranya ialah di Kampung Pueh Sematan, Kampung Bunuk, Kampung Annah Rais (Kuching), Rumah Nyungka dan Rumah Benjamin Angkie (Sarikei) serta di Bawang Assan (Sibu),” katanya ketika ditemu bual.

Menurut Suriya, pelaksanaan projek tersebut turut mendapat kerjasama daripada Unit Agensi Swasta dan Kerajaan.

Justeru, beliau berkata pihaknya akan meneruskan usaha mengenal pasti inap desa di rumah panjang di seluruh negeri ini untuk dinaik taraf.

“Kami akan terus melihat perkembangan rumah-rumah panjang yang berkonsepkan inap desa di seluruh Sarawak untuk disenaraikan dalam projek ini,” katanya.

Jelas beliau, inisiatif tersebut jelas menunjukkan kerajaan khususnya menerusi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sentiasa memberi perhatian kepada setiap inap desa di Sarawak.

“Kami akan membantu sesebuah inap desa mengikut keperluan masing-masing.

“Selain berbentuk infrastruktur, bantuan juga akan diberikan dari segi latihan dan kemahiran asas,” katanya.

Advertisement