Anda di sini

AmBank: Pemandu teksi dipenjara 14 tahun, enam sebatan miliki pistol

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi semalam dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan selepas didapati bersalah memiliki pistol dan peluru hidup berhubung kes pembunuhan pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian (AmBank) Hussain Ahmad Najadi.

Hakim Mahkamah Sesyen Azwarnida Affandi memutuskan Chew Siang Chee, 45, dihukum penjara 10 tahun dan enam sebatan bagi kesalahan memiliki pistol dan penjara empat tahun bagi kesalahan memiliki peluru hidup.

Azwarnida berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dan memerintahkan Chew menjalani hukuman penjara secara berasingan bermula tarikh dia ditangkap pada 30 Julai 2013.

Dalam penghakimannya beliau berkata pembelaan tertuduh bersifat penafian semata-mata, tidak dapat dipercayai dan sesuatu yang difikirkan kemudian.

“Isu material yang diceritakan tertuduh dalam pembelaannya tidak pernah dibangkitkan semasa kes pendakwaan,” katanya.

“Keterangan tertuduh mengesyaki Ah Kwan yang meletakkan pistol dan peluru ke dalam peti surat semasa pembelaannya, tidak pernah ditimbulkan sebelum ini.

Keterangan ini adalah spekulasi semata-mata,” kata hakim itu.

Selain itu, Azwarnida berkata saksi pendakwaan (SP) keenam Sarjan Chiam Swee Guan, SP ketujuh Inspektor Looi Ah Meng dan SP kelapan Pegawai Penyiasat ASP Tonny Lunggan adalah saksi yang boleh dipercayai.

“Tiada sebab untuk SP6, SP7 dan SP8 mereka-reka keterangan. Keterangan saksi ini adalah konsisten dan saling menyokong,” katanya.

Bagi pertuduhan pertama, Chew didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Walther model PPK/S Cal.9mm Kurz/380ACP bersama satu magazine Walther yang menyalahi undang-undang, di dalam peti surat B-15-2, Kondominium Desa Cindaimas, Jalan Sekutu Off Jalan Kuchai Lama, Brickfields, pada jam 5.45 petang, 3 Ogos 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Chew juga didakwa memiliki empat butir peluru hidup jenis 9mm (short) (S&B 9mm) tanpa lesen pada masa dan tempat sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 (Akta 206) itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon hukuman berat dikenakan kepada tertuduh kerana terdapat banyak kes melibatkan senjata api dan pemilikan senjata api di Malaysia sehingga masyarakat secara amnya berasa tidak selamat.

Peguam R. Ramesh yang mewakili Chew memohon hukuman ringan kerana anak guamnya menanggung empat anak dan seorang isteri yang tidak bekerja.

Sembilan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu Chew memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu. — Bernama

Advertisement