Anda di sini

Zaid umum tanding PRK DUN Kajang

Advertisement

KAJANG: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim semalam mengumumkan secara rasmi akan bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bulan depan.

Keputusan itu katanya demi memastikan usaha menyingkirkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan mengangkat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai kerajaan negeri tidak berjaya.

“Mandat dan kepercayaan rakyat terhadap Khalid jelas tidak boleh dikikis semata-mata kerana menjaga kepentingan Anwar dan jika Khalid perlu disingkir biarlah ia dilakukan melalui proses demokrasi seperti undi tidak percaya di dalam sidang DUN.

“Jadi atas pertimbangan membela prinsip politik yang sihat saya membuat keputusan untuk bertanding, dan lebih utama adalah untuk memastikan rancangan Anwar mahu menjadi menteri besar tidak berjaya,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau juga menyifatkan perbuatan Anwar sebagai “satu tindakan politik liar yang perlu dihalang dan tidak wajar direstui pengundi di Kajang.”

Bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan (KITA) itu juga bertekad menggunakan sesi kempen untuk menjelaskan kepada rakyat akan kepentingan mempertahankan kepimpinan yang bertanggungjawab, malah mendakwa jika menang, beliau mampu menstabilkan keadaan politik di Selangor serta membawa pembangunan ke Kajang.

“Saya mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin dalam pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) yang boleh dijadikan landasan dalam merencana pembangunan di kawanan ini.

“Jadi, saya harap pengundi Kajang dapat membuat pilihan bijak dalam usaha menyelesaikan krisis Khalid-Azmin dan Anwar yang jelas memberi kesan kepada pembangunan negeri,” katanya.

Ditanya peluang untuk menang, Zaid berkata peluangnya tetap ada jika ‘tiga pemimpin gergasi’ BN iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak turun berkempen menentangnya dalam pilihan raya itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 11 Mac sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian pada 23 Mac.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan pada 27 Jan lepas bagi memberi ruang kepada Anwar untuk bertanding. — Bernama

Advertisement