Anda di sini

Sabar tunggu keputusan BN tanding atau tidak: Shafie

KOTA BELUD: Semua pihak harus bersabar menunggu keputusan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) sama ada mahu meletakkan calon atau tidak pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di Selangor bulan depan.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata BN sentiasa bersiap siaga untuk bertanding di kawasan itu.

“Kita harus tunggu dan kita yakin pucuk pimpinan akan membuat keputusan (terbaik),” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian BN sama ada bertanding atau tidak di kerusi DUN Kajang yang dikosongkan penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Jan lepas bagi memberi ruang kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mac sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 23 Mac.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim semalam mengumumkan secara rasmi akan bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil itu.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus menambahbaik peraturannya termasuk mengenakan hukuman berat terhadap wakil rakyat yang meletak jawatan tanpa sebab munasabah dan langkah itu juga untuk mengelak pembaziran.

Namun, katanya sebagai negara demokrasi, tiada halangan untuk mana-mana wakil rakyat meletak jawatan sekiranya atas alasan kukuh seperti masalah kesihatan. — Bernama