Anda di sini

Rujuk Peguam Negara kes profil tinggi di laman sosial

Advertisement

HULU TERENGGANU: Agensi yang menyiasat kes berprofil tinggi seperti menghina agama Islam dan institusi raja di laman sosial dicadang berbincang dengan Peguam Negara (AG) bagi memastikan kes itu kukuh dan tindakan dapat diambil dengan cepat.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata, cadangan tersebut dibuat kerana setiap agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai akta khusus dari segi proses penyiasatan.

“Biasanya agensi-agensi terbabit akan melakukan siasatan berdasarkan akta-akta sedia ada dan seterusnya memajukan kepada pihak pendakwa raya, bergantunglah kepada pihak pendakwa raya sama ada mereka hendak ambil (tindakan mengikut) akta SKMM, akta jenayah dan akta hasutan dan sebagainya.

“Kita tidak mahu kes itu tidak ada kesudahan kerana sekiranya ada permasalahan, kita harapkan sama ada SKMM ataupun polis boleh berbincang dengan pihak AG bagi cari penyelesaian terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan kepada pelajar Pondok Darul Iman dan dermasiswa Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri(BAKTI) 2013/2014 kepada 10 pelajar cemerlang daerah ini di Kampung Pelandan Tersat dekat sini semalam.

Di bawah program tanggungjawab sosial (CSR) pejabat Parlimen Hulu Terengganu itu, sejumlah 219 tilam disumbangkan kepada pelajar pondok itu dan beberapa netbook sumbangan SKMM bagi kegunaan pentadbiran sekolah pondok itu.

Jailani yang merupakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata beliau percaya rakyat menunggu tindakan yang boleh dan akan diambil terhadap kes-kes demikian dan sekiranya tindakan dapat disegerakan sudah pasti rakyat yakin dengan sistem yang ada.

Bagaimanapun, katanya beliau memahami kekangan dihadapi agensi terbabit dalam menjalankan siasatan.

“Eloklah berbincang bersama-sama kerana kita tidak mahu tindakan yang diambil memakan masa begitu lama kerana saya percaya rakyat luar sana pastinya ternanti-nantikan apakah kesudahannya misalnya kes Alvin Tan (didakwa hina agama Islam) yang masih tidak tahu apa kesudahannya serta kes-kes lain,” katanya.

Menurutnya sebanyak 17 kes berprofil tinggi telah diserahkan oleh pihak pendakwa raya kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut dan diputuskan namun ia memakan masa yang lama untuk didakwa. — Bernama

Advertisement