Anda di sini

Rakyat perlu buat analisis dan pastikan maklumat diterima benar

Advertisement

SUNGAI PETANI: Rakyat perlu menganalisis dan memastikan setiap berita atau maklumat yang diterima berkaitan apa sahaja yang berlaku di negeri ini adalah benar bagi mengelak sebarang salah faham.

Menteri Besar Kedah  Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata maklumat yang tepat dapat menangkis sebarang usaha dilakukan oleh anasir jahat bagi menimbulkan pertelingkahan dan perpecahan dalam masyarakat.

“Kita harus berhati-hati apabila menerima sesuatu berita sama ada ianya benar, berbentuk fitnah ataupun ada sesuatu yang tersirat…ini penting apabila pihak yang berkepentingan cuba memutar belit kenyataan untuk memenuhi agenda mereka yang tersendiri.

“Menjadikan amalan menganalisis sesuatu maklumat yang diterima adalah satu kemestian bagi mengelakkan kita menjadi mangsa kepada berita yang tidak berasaskan kebenaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Program Mesra Rakyat 2014 Peringkat Daerah Kuala Muda, di Pantai Merdeka dekat sini semalam.

“Sikap mudah percaya terhadap segala berita yang disampaikan tanpa berusaha mendapatkan kesahihannya sangatlah dikesali, apatah lagi berpunca dari berita itu boleh mengganggu ketenteraman awam serta mencetuskan huru hara,” kata Mukhriz.

Ketika ditemui pemberita selepas program itu, Menteri Besar berkata Kuala Muda yang memiliki keunikan tersendiri berpotensi dimajukan sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

Beliau berkata pembangunan pelancongan holistik akan dirancang bagi menarik lebih ramai pelancong ke daerah berkenaan yang terkenal dengan tapak warisan sejarah seperti Lembah Bujang dan mempunyai kawasan gunung serta pesisir pantai yang indah. — Bernama

Advertisement