Anda di sini

PPSPPA perhebat kempen ‘Anti Litter’

Advertisement

SEREMBAN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) akan memperhebatkan kempen Anti Litter di seluruh negara bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai tabiat buruk membuang sampah dari kenderaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ab Rahim Md Noor berkata pelaksanaan kempen itu harus dilakukan secara menyeluruh dengan tidak hanya melibatkan kumpulan sasaran (mereka yang menaiki kenderaan) tetapi masyarakat secara keseluruhannya.

“Kempen berterusan ini bertujuan mendidik masyarakat agar prihatin tentang kebersihan. Tabiat buruk membuang sampah dari kenderaan perlu diberikan perhatian serius kerana sikap seperti itu akan memberi kesan negatif kepada tahap kebersihan dan imej negara ini terutama sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

“Kita sepatutnya menyimpan terlebih dahulu sampah di dalam kenderaan dengan menggunakan beg kertas yang disediakan sebelum sampai ke destinasi untuk dibuang,” katanya dalam sidang media selepas mengedar 1,000 pelekat kenderaan serta beg kertas sempen kempen Anti Litter di Plaza Tol Mambau, Lebuhraya Seremban-Port Dickson dekat sini, semalam.

Beliau berharap masyarakat dapat memberikan sokongan terhadap kempen ini dengan tidak membuang sampah keluar dari kenderaan masing-masing.

“Ini bertujuan memastikan jalan raya dan persekitaran bersih dan indah.

Dengan mengamalkan budaya kebersihan, kita dapat meningkat dan memantapkan imej negara yang bersih dan selamat kepada para pelancong yang melawat negara ini,” katanya. — Bernama

Advertisement