Anda di sini

Mangsa dihanyut arus ditemui mati lemas

Advertisement

GUA MUSANG: Seorang daripada dua mangsa yang dilapor dihanyutkan arus selepas bot mereka terbalik pada Jumaat ditemui mati lemas di Pengkalan Zul, Sungai Lebir, Kampung Miak di sini pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, DSP Aziz Hasan berkata mangsa merupakan pemandu bot itu Mohd Nor Abdul Rahman, 55, ditemui kira-kira jam 10.50 pagi oleh penduduk kampung yang turut melancarkan gerakan mencari, kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian di kampung itu.

Seorang lagi mangsa warga Thailand, Manah @ Husam, 27, yang turut dihanyutkan arus masih belum ditemui dan gerakan mencarinya oleh pasukan bomba dan penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam masih diteruskan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam apabila kedua-dua mangsa berserta isteri Mohd Nor, Kamariah Mat Husin, 53, sedang menyeberangi sungai dengan membawa getah sekerap apabila bot mereka terbalik akibat melanggar tunggul kayu di tengah sungai.

Kamariah bagaimanapun terselamat. — Bernama

Advertisement