Anda di sini

KKLW peruntuk RM500 juta untuk pembangunan di Sabah

Advertisement

KOTA BELUD: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) meluluskan peruntukan kira-kira RM500 juta untuk beberapa program pembangunan di Sabah khususnya di daerah Kota Belud, tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sejumlah RM61 juta diperuntukkan bagi projek-projek pembangunan di Kota Belud termasuk menaik taraf jalan raya dan membaik pulih dewan manakala RM400 juta bagi projek bekalan elektrik di luar bandar.

“Kita mahu menyediakan bekalan elektrik di luar bandar dengan menyambung dari grid (loji) yang sedia ada ke kawasan-kawasan di luar bandar di seluruh Sabah dan kita akan melaksanakan usaha ini agar tidak membantutkan pembangunan infratruktur di luar bandar,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembinaan Loji Rawatan Air Kota Belud bernilai RM36 juta siap 5 April tahun lepas.

Turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Mohd Shafie berkata sejumlah RM158 juta diperuntukkan bagi pelbagai projek pembangunan untuk meningkatkan kemudahan asas dan infrastruktur di Kota Belud termasuk menaik taraf jalan raya pada tahun lepas.

Dalam pada itu, beliau meminta penduduk kampung memberi kerjasama kepada pihak terbabit termasuk kontraktor bagi menyiapkan projek pembangunan mengikut jadual.

“Kalau ada kerjasama yang baik antara penduduk setempat, saya yakin projek pembangunan siap dan ia akan membantu masyarakat menikmati kemudahan itu seperti ada sistem jalan raya yang baik bagi membawa keluar tananam selain menjimatkan kos pengangkutan,” katanya. — Bernama

Advertisement