Anda di sini

Hajat wanita baik pulih rumah tidak kesampaian

Advertisement

HULU TERENGGANU: Hajat seorang ibu tunggal untuk membaik pulih rumahnya dengan bantuan kerajaan negeri tidak kesampaian apabila kediamannya itu di Kampung Tok Randuk, Ajil di sini hangus terbakar pagi semalam.

Unit perumahan awam kos rendah itu baharu sahaja diluluskan menerima bantuan baik pulih di bawah program e-Kasih oleh kerajaan negeri.

Ketika kejadian jam 7.50 pagi itu, Zubaidah Ismail, 42, tiada di rumah kerana menghantar anak perempuan bongsunya, pelajar tingkatan tiga, ke Sekolah Menengah Kebangsaan Ajil di sini.

Ketika sampai ke rumahnya, ibu kepada empat orang anak berusia antara 15 hingga 23 tahun itu melihat api menjulang membakar bahagian dapur dan ruang tamu sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan tiga jentera tiba untuk memadamkan kebakaran.

“Saya tidak sempat menyelamatkan sebarang barang pun. Apa yang berlaku ini ketentuan (Allah SWT) dan saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd Zamri Omar berkata 16 anggota bomba dan tiga jentera iaitu dua dari Balai Bomba Kuala Berang dan satu dari Balai Bomba Wakaf Tapai dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada orang ramai.

Katanya punca kebakaran masih dalam siasatan manakala kerugian dianggarkan RM70,000 termasuk rumah, perabot, peralatan dalam rumah dan sebuah motosikal.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari yang merupakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia turut menziarahi dan menghulurkan bantuan peribadi bagi meringankan beban ibu tunggal itu.

“Kita telah menghubungi pejabat daerah untuk membantu memberikan mereka tempat teduhan sementara rumah PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin) dan bantuan-bantuan lain telah kita uruskan bersama dengan JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) bagi meringankan kegusaran keluarga itu,” katanya. — Bernama

Advertisement