Anda di sini

FAMA rancang tambah jumlah hari operasi 520 pasar tani

Advertisement

TASEK GELUGOR: FAMA merancang menambah jumlah hari operasi 520 pasar tani di seluruh negara kepada dua kali seminggu berbanding sekali sekarang.

Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak berkata ia adalah bagi membolehkan lebih ramai pengguna mendapatkan barangan dengan harga yang lebih murah di pasar tani.

“Pasar tani ketika ini menguasai 15 peratus daripada nilai pasaran jualan produk pertanian dan sudah tentu dengan nilai sebegini potensi pasar tani harus dioptimumkan sebaik mungkin.

“Paling penting pengguna boleh mendapatkan barangan dengan harga yang murah dan pasar tani juga merupakan medium petani jual produk mereka dan mencebur diri dalam bidang perniagaan bagi meningkatkan taraf hidup,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pasar Tani Tasek Gelugor, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Mohad Khazin Hamzah.

Sementara itu, Mohad Khazin berkata Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) sedang berusaha menambah bilangan penyertaan peniaga ikan di pasar tani di seluruh negara secara berperingkat.

Setakat ini NEKMAT telah beroperasi di 48 pasar tani.

“Usaha ini diharap akan dapat membantu rakyat membeli ikan pada harga yang lebih berpatutan dengan pilihan yang lebih banyak,” katanya.

Mohad Khazin berkata pihaknya menjangkakan Nekmat akan dapat berniaga di semua pasar tani seluruh negara dalam tempoh terdekat ini atau selewatnya bulan depan.

“NEKMAT juga akan mengimport lebih banyak ikan agar negara mempunyai bekalan yang cukup bagi memenuhi keperluan,” katanya. — Bernama

 

Advertisement