Anda di sini

Bomba pantau kebakaran Gunung Tempurung

KAMPAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak terus memantau kawasan Gunung Tempurung di Kampung Sungai Siput Selatan yang terbakar sejak Jumaat.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Ruhisha Haris berkata sebahagian daripada kawasan kebakaran seluas 1.6 hektar itu telah padam dengan sendiri.

“Sebahagian daripada kebakaran telah padam dengan sendiri tetapi kebakaran merebak ke sebelah kiri gunung pula dan ini melibatkan kawasan seluas 0.8 hektar,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, katanya hujan yang turun petang ini diharap dapat memadamkan api.

Beliau berkata anggotanya telah meninjau kawasan untuk melakukan penghalang api bagi mengelak kebakaran merebak ke gunung berhampiran.

Katanya permukaan gunung yang sangat curam serta berbahaya menghalang anggota bomba daripada menghampiri kawasan kebakaran.

“Hari ini (semalam) seramai 12 anggota dan lima pegawai memantau kawasan itu,” katanya. — Bernama