Anda di sini

Wen Jie sedia membuat penampilan terbaik di Turki

Advertisement

KUCHING: Atlet wushu remaja Sarawak, Fu Wen Jie bersedia membuat penampi­lan terbaiknya pada Kejo­hanan Wushu Remaja Dunia kelima di Antalya, Turki pada 11 hingga 18 Mac depan.

Pelajar SJK Chung Hua No 4, Kuching menyasarkan tempat tiga teratas dalam dua kategori wanita C, changquan dan jianshu.

Wen Jie menjadi satu-sat­unya atlet dari Sarawak yang dipilih oleh Persekutuan Wushu Malaysia semasa sesi pemilihan yang diadakan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain beliau, sesi pemilihan itu turut disertai Yong Arifah Khairul Kok (SMK Sungai Maong, Kuching), Lee Hui Xian (SMK Bandar Kuch­ing No 1, Kuching), Steph­anie Ngu Cai Ern (SJK Thai Kwang, Sibu), Bong Yun Pin (SJK Chung Hua Pending, Kuching) dan Landy Liew Jia Yee (SJK Chung Hua No 3, Kuching).

“Saya sangat gembira ker­ana sekali lagi dipilih meny­ertai Malaysia dan diberi peluang bertanding pada Kejohanan Wushu Remaja Dunia ini. Saya juga yakin dapat menamatkan saingan pada kedudukan tiga teratas dalam dua kategori yang saya sertai,” katanya.

Pada edisi dua tahun lalu di Macau, China, Wen Jie berjaya menduduki tempat kelima dalam kategori perempuan C menerusi acara jianshu dan ke-12 dalam acara changquan.

Beliau antara atlet remaja yang menunjukkan persem­bahan paling konsisten dalam kejohanan peringkat negeri dan kebangsaan.

Pada Kejohanan Wushu Sarawak 2010, beliau meng­gondol tiga pingat emas disusuli lima emas pada 2011, tiga emas pada 2012 dan tujuh emas dan tiga perak pada tahun lalu.

Pada Kejohanan Wushu Ke­menterian Pelajaran Malaysia, Wen Jie merangkul satu perak dan dua gangsa pada edisi 2010 dan 2011.

Manakala pada kejohanan sama tahun lalu, beliau beraksi cemerlang untuk meraih emas dalam acara changquan dan perak dalam acara jianshu dan qiangshu.

Ayahnya, Fu Wee Chiang turut melahirkan rasa gembira setelah Wen Jie sekali lagi di­pilih mewakili Malaysia.

“Beliau mula menunjukkan minat dalam wushu sejak berada di tadika dan gigih berusaha demi untuk merebut peluang mewakili negara,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Wen Jie iaitu Ling Ung Hee turut yakin anak didiknya itu mampu beraksi cemerlang pada kejohanan tersebut.

“Saya telah melatih Wen Jie selama lima tahun dan beliau sangat yakin ketika persem­bahan rutin. Saya yakin be­liau dapat mencipta kejutan namun harus mengurangkan banyak kesilapan semasa be­raksi,” katanya.

Wen Jie berlepas ke Kuala Lumpur semalam dan akan menjalani latihan berpusat bersama 11 lagi atlet kebang­saan di Bukit Jalil pada 10 Mac.

Advertisement