Anda di sini

Tanam sayur di rumah bantu kurangkan kos perbelanjaan

Advertisement

GEORGE TOWN: Dalam usaha kerajaan menangani peningkatan kos sara hidup yang kini menjadi isu nasional, ada sesetengah pengguna mula mengambil inisiatif menanam sayur-sayuran dan herba untuk keperluan sendiri di rumah.

Walaupun aktiviti penanaman sayur itu memerlukan kesabaran dan minat yang tinggi, rata-rata pengguna terutama suri rumah mengakui usaha itu sedikit sebanyak membantu mereka menangani beban sara hidup yang kian meningkat.

Aktivis alam sekitar, Ahmad Kamal Mohd Ali berkata pengguna yang mengamalkan aktiviti penanaman sayur di rumah dapat mengurangkan 20 peratus perbelanjaan bulanan.

“Aktiviti menanam sayur di rumah bukan sahaja dapat membantu kita mengurangkan kos perbelanjaan, tetapi turut membantu memulihkan tanah kerana bebas daripada bahan kimia.

“Pada masa sama, kegiatan menanam sayur untuk keperluan sendiri turut membantu melahirkan masyarakat mandiri (berdikari) yang menghasilkan sendiri tanaman mereka dan tidak bergantung kepada faktor luar untuk mendapatkan sayur-sayuran,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau yang pernah mengikuti program Pertanian Asli anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggalakkan lebih ramai suri rumah mengamalkan menanam sayur di rumah kerana ia juga boleh dijadikan sebagai aktiviti senaman.

Suri rumah, Dalila Md Dahalan, 40, berkata aktiviti menanam sayur dan herba di rumah turut membantu menambah pendapatan bulanan hasil jualan sayur-sayuran itu.

Ibu kepada seorang anak itu berkata beliau bersama tujuh jiran yang lain mengusahakan tanaman sayur seluas 0.4 hektar di kawasan perumahan mereka sejak empat tahun lepas.

“Kami belajar sendiri cara-cara menanam sayur daripada seorang kenalan yang pernah mengikuti program CAP. Dialah yang mengajar kami bagaimana tanam sayur secara organik dan menghasilkan baja sendiri.

“Memang tidak memerlukan modal yang besar. Sayur yang kami dapat pun bukan hanya untuk kegunaan sendiri malah kami boleh menjualnya kepada jiran setempat.

Dalam sebulan kami boleh dapat dalam RM200,” katanya.

Dalila berkata antara sayur yang ditanamnya ialah bayam, sawi, terung, bendi dan cili dan pada setiap Rabu mereka akan berkumpul membersih dan memantau kawasan kebun itu.

Sementara itu, pegawai pendidikan CAP N.V. Subbarow berkata CAP mengambil inisiatif mengadakan program itu untuk menggalakkan masyarakat menanam sayur-sayuran dan herba sendiri di rumah.

Beliau berkata program yang mula diperkenalkan sejak lapan tahun lepas itu pada mulanya bertujuan mendidik petani untuk mengamalkan pertanian semula jadi dan organik yang lebih sihat.

Bagaimanapun, beliau berkata program itu mendapat perhatian suri rumah, pihak sekolah dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu mempelajari cara-cara penanaman sayur-sayuran dan herba di rumah.

“Kami bukan sahaja mengajar peserta cara-cara menanam sayur malah mengajar mereka menghasilkan baja kompos dari sisa dapur dan pertanian. Ia bukan sahaja menjimatkan kos malah menghasilkan sayur-sayuran yang lebih segar dan bebas daripada bahan kimia. — Bernama

Advertisement