Anda di sini

Skuad terjun M’sia tekad berjuang memecah dominasi ‘Tembok China’

Advertisement

KUCHING: Skuad terjun Malaysia akan berjuang habis-habisan untuk memecah dom­inasi China dalam acara terjun pada Sukan Asia yang akan diadakan di Incheon, Korea Selatan pada 19 September hingga 4 Oktober depan.

Jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang berkata be­liau yakin skuad negara mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas dari temasya ke-17 itu.

Katanya, sasaran itu mampu dicapai dengan mengambil kira prestasi semasa skuad negara sepanjang penglibatan selama empat tahun dalam kejohanan peringkat antara­bangsa.

“Dari segi standard, pener­jun wanita kita semakin ham­pir dengan penerjun China na­mun mereka perlu konsisten dan terus memperbaiki teknik terjunan,” katanya.

“Kita boleh menewaskan China kerana penerjun baharu mereka pastinya merasa ter­tekan untuk memberi perse­mbahan terbaik.

“Dalam acara perseorangan, kita hanya dibezakan dengan 80 mata dengan China mana­kala dalam acara berpasukan seirama kita hanya keting­galan sebanyak 40 mata,” tambahnya.

Ketika ini, Malaysia men­duduki ranking kedua di be­lakang China bagi zon Asia.

Pada Sukan Asia Guangzhou, China, Malaysia memenangi empat emas dan lima gangsa dengan Bryan Nickson Lomas and Leong Mun Yee mas­ing-masing memenangi dua perak.

Menurut Yang, edisi di Incheon dilihatnya agak sukar kerana ramai penerjun senior tidak mengambil bahagian seperti Bryan, Yeoh Ken Nee atau Wang Qiang tidak lagi bersama sedangkan atlet dari Jepun dan Korea Selatan se­makin meningkat naik.

“China juga dijangka me­nampilkan penerjun teramai dan saya berharap penerjun wanita kita mampu meng­hadiahkan emas pertama dalam sukan berprestij ini,” jelasnya.

Manakala dalam Sukan Komanwel, Yang berpenda­pat Malaysia mampu memberi saingan sengit kepada Kanada, Australia dan England.

“Saya juga dapat mera­sakan Pandelela Rinong akan berdepan tugas berat untuk mempertahan emas yang di­menanginya dalam acara 10m papan anjal kerana prestasi lawannya juga semakin baik,” katanya.

Pandelela memenangi emas pertama negara dalam acara terjun pada Sukan Komanwel New Delhi pada 2010 dalam acara 10m papan anjal.

Advertisement