Anda di sini

Rakyat Libya di luar negara mula mengundi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Rakyat Libya yang tinggal di negara ini mula mengundi semalam dalam Pilihan Raya Dewan Perhimpunan Kawasan Libya 2013 yang bertangungjawab merangka perlembagaan negara itu.

Menurut Ali Abdulhafid Elrowayati, Penasihat Kebangsaan Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) Libya, yang menganjurkan pengundian bagi rakyat Libya di luar negara, selain Malaysia, pengundian juga bermula di 12 negara lain iaitu Qatar, Tunisia, Mesir, Emiriyaah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom, Amerika, Itali, Jerman, Turki, Kanada, Ireland dan Jordan.

Katanya Malaysia dipilih Suruhanjaya Tinggi Pilihan Raya Kebangsaan (HNEC) Libya untuk mengadakan pengundian itu kerana mempunyai ramai rakyat dari negara itu.

Pengundian diadakan di Libyan School, 317 E, Jalan Ampang di sini, dari jam 8 pagi hingga jam 6 petang selama tiga hari.

Tinjauan Bernama di pusat pengundian yang mempunyai kira-kira 650 pengundi berdaftar itu pagi ini (semalam) mendapati proses pengundian berjalan lancar.

Ali Abdulhafid berkata keputusan pengundian di Malaysia mungkin diumumkan pada 20 Feb dan dihantar kepada suruhanjaya pilihan raya berkenaan di Libya untuk digabungkan dengan keputusan dari negara lain.

Sementara itu, akhbar dalam talian, Libya Herald melaporkan pemilihan 60 anggota Jawatankuasa Merangka Perlembagaan dijadual berlangsung pada 20 Feb. — Bernama

Advertisement