Anda di sini

Paras air empat empangan mampu tampung keperluan di Kedah: Exco

Advertisement

SUNGAI PETANI: Paras air di empat empangan di Kedah masih mampu menampung keperluan bekalan di negeri itu, sama ada untuk kegunaan domestik mahupun komersil.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Badrol Hisham Hashim berkata bagaimanapun terdapat kawasan mengalami tekanan air rendah dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) menghantar lori tangki ke kawasan berkenaan.

Amnya paras air di Empangan Pedu, Muda, Ahning dan Beris belum kritikal, katanya selepas merasmikan Gotong-Royong Perdana Environment Idaman, Unit Perkhidmatan Sungai Petai di Masjid Haji Zainudin, Tanjung Dawai, dekat sini semalam.

Badrol Hisham berkata Rabu ini kerajaan negeri akan bermesyuarat dengan jabatan dan agensi berkaitan termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Lembaga Sumber Air Negeri Kedah mengenai bekalan dan sumber air di negeri itu.

“Keadaan kemarau ini mungkin sekejap dan mungkin juga berlarutan. Justeru saya menyeru semua rakyat agar berjimat cermat bila menggunakan air kerana bimbang masalah air akan berlaku jika kemarau berpanjangan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Badrol Hisham berkata tahap kebersihan di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) menunjukkan peningkatan, namun perlu ditingkatkan lagi khususnya di kawasan yang menjadi tumpuan pelancongan. — Bernama

Advertisement