Anda di sini

Miri hantar atlet Tang Soo Doo terkuat bagi hadapi kejohanan Eropah

Advertisement

MIRI: Persatuan Tang Soo Doo Miri menghantar atlet terkuat bagi menghadapi Kejohanan Tang Soo Doo Eropah 2014, Kesatuan Moo Duk Kwan Tang Soo Do Federation (EMTF).

Presiden Tang Soo Doo Miri, Tiong Ching Chiong berkata kejohanan itu akan berlangsung di Copper Box Box Arena, Queen Eliza­beth Olympic Park, Lon­don pada 4 dan 5 Oktober depan.

“Kita akan menghantar dua atlet terkuat pada ke­johanan itu, selain bakal disertai beberapa atlet dari Semenanjung Malaysia yang mewakili negara,” katanya di sini semalam.

Katanya, beliau gembira kerana mendapat jemputan untuk menyertai kejohanan itu dan kita akan meng­hantar atlet terbaik dari persatuan.

“Kedua-dua atlet ini mempunyai pengalaman luas dalam kejohanan be­sar dan mereka akan ber­gabung bersama atlet lain untuk mewakili Malaysia,” jelasnya.

Menurutnya, lebih 10 negara akan menyertai ke­johanan itu yang rata-rata dari pasukan Tang Soo Do Eropah dan memberi pendedahan kepada atlet negara.

“Salah satu matlamat kita ialah menghantar keluar atlet ke kejohanan besar su­paya mereka dapat menimba pengalaman dan mengasah kemahiran,” katanya.

Tambahnya, berikutan kekangan perbelanjaan, pihaknya hanya mampu menghantar dua atlet sahaja dan berharap mendapat tajaan daripada pihak lain.

“Kita akan mencuba ter­baik untuk membantu atlet mengharungi kejohanan itu namun kita juga berharap pihak tertentu tampil me­nampung perbelanjaan kita,” katanya.

Antara kategori dipertandingkan ialah spar­ring, Hyung tradisional, Chil Sung, Chang Bong Hyung, Gung Bong Hy­ung, Tando Hyung dan sebagainya.

Advertisement