Anda di sini

Kerajaan timbang wujud kawasan keselamatan khas di Sarawak

Advertisement

KLUANG: Kerajaan mempertimbangkan cadangan mewujudkan kawasan keselamatan khas di Sarawak bagi mengawal pelantar minyak dan gas di perairan negeri itu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jika dilaksana, penubuhan kawasan yang mirip kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) itu akan membabitkan syarikat minyak dan gas.

Syarikat-syarikat seperti Petronas, Shell dan Esso mempunyai pelantar minyak masingmasing di tengah-tengah laut dan mereka membelanjakan berbilion ringgit bagi memastikan keselamatan kakitangan dan aset mereka, katanya semalam.

Beliau ditemui selepas menghadiri program Sepagi Bersama Menteri Pertahanan di Kem Mahkota di sini.

Hishammuddin juga menafikan cadangan itu ada kaitan dengan kawasan James Shoal atau Beting Serupai yang menjadi rebutan antara China dan Malaysia.

“Langsung tidak berkait kerana ia (tuntutan bertindih James Shoal) langsung tidak menjejaskan keselamatan serantau,” katanya.

Pada Mac tahun lepas, Beijing dilapor menghantar armada tentera lautnya ke kawasan itu yang terletak hanya 80 kilometer dari Bintulu dan 1,800 km dari tanah besar China.

Terkini pada Januari lepas, media antarabangsa melaporkan tiga kapal tentera laut China berada di perairan tersebut dan turut melepaskan tembakan, namun Panglima Tentera Laut Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menafikan perkara itu.

Mengenai ESSCOM, Hishammuddin berkata usaha menubuhkan kem tentera di FELDA sedang dilakukan.

“Difahamkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sudah bersetuju dan menetapkan kos tidak lebih RM400 juta,” katanya menambah usaha itu sedang dibincangkan oleh Angkatan Tentera Malaysia, Unit Perancang Ekonomi dan Unit Kerjasama Awam Swasta serta FELDA. — Bernama

Advertisement