Anda di sini

Kementerian belum putuskan kajian genetik aedes diteruskan: Dr Hilmi

Advertisement

SUNGAI SIPUT: Kementerian Kesihatan belum memutuskan  sama ada akan meneruskan projek kajian Genetik Nyamuk Aedes (GAM) di tiga buah negeri memandangkan kos yang akan terlibat terlalu tinggi, kata Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata kajian pada fasa seterusnya dengan kerjasama sebuah syarikat dari London itu akan melibatkan kos RM100 juta seperti diminta syarikat berkenaan selain hasil dapatan dan kesan daripada tiga fasa kajian awal sebelum ini juga belum dimaklumkan.

“Memang ada cadangan supaya ia dijalankan di tiga buah negeri tetapi kosnya terlampau tunggi, syarikat berkenaan mahu RM100 juta untuk buat kajian di tiga  negeri…mereka meminta kos daripada kerajaan untuk buat kajian dan kita tidak boleh bersetuju lagi,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Pada November lepas,  Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata projek itu masih dalam pertimbangan dan pihak kementerian tidak ada rancangan segera untuk menjalankan pelepasan nyamuk aedes GAM untuk tujuan mencegah wabak denggi.

Kos yang telah dibelanjakan untuk projek itu dari 2006 sehingga 2012 adalah sebanyak RM3,146,709 yang merangkumi kos tiga fasa kajian iaitu pengkolonian dan pembiakan nyamuk serta kajian bionomik semua peringkat kitaran hidup nyamuk genetik aedes; pengawanan nyamuk aedes jantan serta kajian penandaan, pelepasan dan penangkapan semula nyamuk aedes jantan yang telah dijalankan di kawasan tidak berpenghuni di Bentong, Pahang.

Fasa selanjutnya iaitu untuk membuat kajian pengurangan wabak denggi di empat zon yang telah dikenal pasti selama tiga tahun dan anggaran jumlah kos  yang terlibat iaitu kira-kira RM100 juta.

Mengenai perkembangan wabak denggi di negara ini, Dr Hilmi berkata kes denggi bagi tahun ini sehingga 10 Feb lepas meningkat tiga kali ganda  berbanding tempoh yang sama tahun lepas manakala kes kematian akibat denggi merekodkan 14 kes berbanding lapan kes bagi tempoh yang sama.

“Ini merupakan satu wabak yang amat membimbangkan, oleh yang demikian setiap anggota masyarakat perlu membuat pembersihan dan memeriksa rumah atau premis masing-masing…wabak denggi sudah menjadi kes sedunia yang dikaitkan dengan faktor pemanasan global selain kekurangan kesedaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata virus denggi kini tersebar tanpa seseorang itu digigit nyamuk aedes kerana didapati nyamuk jenis itu membawa virus sewaktu telur sehingga dewasa dan ia bersifat pembawa semulajadi. — Bernama

Advertisement