Anda di sini

Syarikat dan agensi digalak sertai kursus polis bantuan

IPOH: Syarikat perniagaan dan agensi diseru agar menggalakkan pekerja mereka menyertai Kursus Asas Polis Bantuan yang disediakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya aspek ketenteraman serta keselamatan kawasan dapat dikawal dengan lebih berkesan.

Komander Bridged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Azman Yusof berkata pasukan polis bantuan yang mendapat latihan dan kemahiran sepanjang kursus berkenaan mampu mempamerkan tindakan pencegahan dan menjaga keselamatan yang lebih baik.

“Kita (polis bantuan) dapat bertindak lebih pantas dengan ada pasukan ini di lokasi organisasi masing-masing…kerjasama dengan PDRM adalah supaya pasukan polis bantuan lebih faham mengenai apa yang patut mereka lakukan semasa bertugas,” katanya kepada pemberita selepas menutup Kursus Asas Polis Bantuan Siri 2/2013 di Kem PGA, Ulu Kinta di sini semalam.

Beliau berkata syarikat dan agensi boleh membuat permohonan kepada ibu pejabat PDRM di Bukit Aman untuk menghantar pasukan polis bantuan mereka menjalani kursus berkenaan.

Modul latihan Kursus Asas Polis Bantuan sering diberi penambahbaikan oleh Pusat Latihan PDRM supaya ia sejajar dengan perubahan semasa, katanya.

Azman berkata golongan belia dan anak muda yang tidak dapat memasuki perkhidmatan PDRM boleh memohon menyertai pasukan polis bantuan yang dibuka oleh syarikat perniagaan serta agensi tertentu.

Belia dan golongan anak muda perlu mengambil inisiatif mengikuti kursus asas polis bantuan yang ditawarkan oleh agensi berkenaan sekali gus merebut peluang pekerjaan yang ada, katanya.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Konstabel Hairul Rizuan Md Nor yang bertugas sebagai Polis Bantuan FELDA Security Services Sdn Bhd terpilih sebagai pelatih terbaik keseluruhan kursus.

Anak bongsu daripada lima beradik ini melahirkan rasa teruja dengan penghargaan tersebut dan berharap dapat menyertai pasukan PDRM pada masa akan datang, katanya.

Pasukan polis bantuan yang wujud sejak tahun 1948 berpandu konsep ‘United Against Crime’ telah memberi sokongan kepada PDRM dalam melengkapkan usahamemastikan ketenteraman awam sentiasa terjamin.

Sebanyak 189 pelatih dari enam agensi iaitu FELDA Security Services Sdn. Bhd, Jabatan Keselamatan Genting (M) Berhad, Northport (M) Berhad, The Lion Group, Bandaraya Development Berhad dan Pba Holding Berhad yang menjalani latihan sejak 15 Dis lepas menamatkan kursus di sini semalam selepas didedahkan dengan antaranya pengetahuan undang-undang, latihan menembak, seni mempertahankan diri. — Bernama