Anda di sini

Rakyat Balingian, Mukah hargai pengorbanan Taib

Advertisement

MUKAH: Masyarakat di sini menghargai pengorbanan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sepanjang tempoh beliau mewakili mereka di kawasan tersebut serta sebagai Ketua Menteri.

Jelas kedengaran di bibir rakyat terutamanya di kawasan Balingian yang sangat bersedih selepas pengumuman Taib meletak jawatannya sebagai Ketua Menteri pada 28 Februari ini.

Seorang penduduk, Bandan Sayup, 56, berkata pengumuman Taib berundur ternyata sangat dirasai kerana beliau merupakan seorang pemimpin yang sangat baik dan telah banyak melakukan pengorbanan terhadap rakyat.

Bagaimanapun, Bandan berkata mereka sebagai rakyat turut menyokong pengemudi negeri Sarawak yang baharu, Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

“Kami sebagai rakyat sangat menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh Taib atas pengorbanan beliau membantu rakyat terutamanya masyarakat di kawasan pedalaman.

“Terutamanya dalam aspek kemudahan awam seperti jaringan jalan raya dan bantuan rumah kerana beliau sangat faham akan kesusahan serta keperluan rakyat,” katanya ditemui di sini semalam.

Bandan berkata, sekiranya kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian dikosongkan rakyat akan terus memilih pucuk kepimpinan sekarang.

“Sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balingian diadakan, sesiapa sahaja menjadi calon Barisan Nasional (BN) kami tetap menyokong kerana sepanjang kami di bawah pucuk pimpinan BN banyak dibantu dan kami pasti perkara tersebut berlaku.

“Kami tetap menyokong kerajaan BN untuk memastikan kesinambungan pembangunan di Mukah terus berjalan lancar,” katanya.

Johari Nyalu, 53, pula memberitahu sepanjang tempoh Taib memegang jawatan sebagai Ketua Menteri dan juga ADUN Balingian beliau merupakan seorang pemimpin yang pandai mengatur rakyat terutamanya di kawasan Balingian.

“Kami rakyat di kawasan Balingian sangat menghargai pengorbanan dan hasil kerja beliau sebagai wakil rakyat di sini.

“Beliau mempunyai pengalaman luas dan sangat pandai mengatur rakyat serta memahami keperluan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Johari berharap Ketua Menteri baharu dapat meneruskan apa yang telah dilakukan oleh Taib dengan lebih baik lagi.

Seorang penduduk Mukah, Kutat Daiman, 67, berkata pembangunan di sini  bagaikan ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ hasil kerja keras Taib sepanjang tempoh beliau berkhidmat sehingga hari ini.

“Pembangunan di kawasan Mukah yang sedang pesat membangun menunjukkan serta membuktikan bahawa Taib merupakan pemimpin yang sangat bagus dan kami sebagai rakyat sangat menghargai pengorbanan beliau,” katanya.

Advertisement