Anda di sini

Jangan percaya khabar angin tangkapan dilakukan ketika operasi bancian: ESSCOM

Advertisement

SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) meminta penduduk di empat perkampungan air di daerah ini yang terlibat operasi bancian tidak mempercayai khabar angin tangkapan akan dilakukan dalam operasi itu.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Mentek berkata operasi hanya melibatkan bancian bagi mengetahui antaranya jumlah rumah, penduduk, rumah keluarga, serta demografi penduduk warganegara dan bukan warganegara dengan mengenal pasti jenis dokumen yang mereka pegang.

Ketika tinjauan awal oleh pegawai Jabatan Perangkaan di empat kampung terbabit bermula Isnin lepas, penduduk memberitahu ada pihak tertentu sebarkan berita operasi tangkapan akan dilakukan ketika bancian itu.

“Jangan dengar khabar angin ini sebaliknya beri kerjasama kepada pasukan pembanci dan pasukan keselamatan yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pelarasan Penempatan Semula Perkampungan Air Sandakan, di sini semalam.

Beliau berkata operasi bancian di Kampung Mangkalinau, Cahaya Baru, Muhibbah dan Good View akan bermula hari ini dan akan mengambil masa empat hari.

Operasi membabitkan 450 petugas dengan 164 daripada mereka merupakan pembanci terdiri pelajar kolej swasta dan kerajaan, katanya.

Menurutnya operasi disertai antaranya daripada Jabatan Perangkaan, Majlis Perbandaran Sandakan, polis, tentera, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen.

Mohammad berkata berdasarkan statistik 2010, terdapat 4,500 rumah di kampung itu dengan 13,000 penduduk, tetapi tinjauan awal mendapati 5,000 rumah dan 18,000 penduduk.

Sandakan merupakan antara tiga daerah sebagai projek perintis pelaksanaan program bancian dan penempatan semula.

Bancian pertama dilakukan di Mukim Simunul, Semporna, diikuti Sandakan dan selepas ini di Lahad Datu. — Bernama

Advertisement