Anda di sini

Jangan pandang rendah Seladang

Advertisement

PANAS BADAN: Ronny Harun mengetuai pemain-pemain lain memanaskan badan pada sesi latihan di Stadium Negeri Kuching, petang semalam.

Alberts mahu para pemainnya berhati-hati mengekang pergerakan penyerang Perak malam ini

KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts mengingatkan pemainnya agar tidak memandang rendah keupayaan Perak menjelang aksi Liga Super 2014 di Stadium Negeri di sini malam ini.

Katanya, meskipun rekod pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Negeri banyak memihak kepada Sarawak ia bukan lesen bagi anak-anak buahnya mengambil mudah perlawanan malam ini.

Tegasnya, anak-anak buah Abu Bakar Fadzim (Perak) memiliki keupayaan tersendiri untuk menjadikan mereka kempunan memburu kemenangan ketiga.

“Jangan terlalu yakin dan ambil mudah keupayaan Perak kerana prestasi mereka semakin baik dan sukar diduga,” katanya di sini semalam.

Alberts berkata, pemain-pemainnya juga perlu lebih berhati-hati terutamanya dalam mengekang pergerakan penyerang Perak bagi memastikan Sarawak tidak tercicir tiga mata penuh malam ini.

Menurutnya, skuad yang bakal mereka tentang itu bukanlah yang sama ketika mereka menang 6-1 pada perlawanan Piala Malaysia musim lalu.

Katanya, barisan pemain skuad Sang Seladang yang rata-ratanya muka baharu mampu memberi mereka kejutan jika tidak dikawal dengan baik.

“Perak pastinya tidak akan memberi laluan mudah kepada kita. Namun, saya yakin pemain cukup bersedia untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Sarawak,”akuinya.

Skuad tuan rumah akan diperkuatkan dengan kehadiran semula pemain import Gabor Gyepes, Junior Eldstal dan Sani Anuar Kamsani selepas tamat menjalani penggantungan.

Bagaimanapun, penyerang Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan S Chanturu tidak akan diturunkan meskipun telah mula menjalani latihan.

“Saya perlu menilai terlebih dahulu tahap kecergasan pemain sebelum memutuskan barisan kesebelasan utama yang akan diturunkan pada malam ini.

“Kita perlu berhati-hati dalam memilih pemain yang akan diturunkan kerana skuad kita akan menghadapi perlawanan penting menentang Felda United di sini pada Selasa depan,” tambahnya.

Kemenangan malam ini akan melonjakkan kedudukan Sarawak yang ketika ini menduduki tangga keempat dengan enam mata setelah melalui empat perlawanan.

Advertisement