Anda di sini

Buaya nyaris masuk rumah

Advertisement

PENGALAMAN MENAKUTKAN: Awangku Nazri dan Awangku Zainal (duduk) menunjukkan kepada kakitangan Jabatan Penerangan Lawas, Senawi Abang (tengah) rumah mereka yang dinaiki buaya besar ketika banjir di Lawas, petang kelmarin.

Dua remaja terkejut, sang bedal dipercayai terperangkap di belakang rumah selepas banjir besar melanda Trusan

LAWAS: Dua remaja lelaki dari kawasan belakang kedai Trusan di sini melalui pengalaman menakutkan apabila terserempak den­gan seekor buaya ketika sibuk memunggah barang ke kawasan selamat dalam banjir terbesar yang me­landa daerah Sundar dan Trusan di sini, kelmarin.

Awangku Nazri, 18, ber­kata, pada mulanya dia tidak menyedari kehadiran reptilia itu kira-kira 50 meter dari belakang ru­mahnya berikutan keadaan air pasang yang membanjiri kawasan rumahnya dalam kejadian pada jam 9 pagi kelmarin.

“Buaya itu merenung saya yang sedang memunggah barang, sebelum saya dan rakan saya, Awangku Za­inal, 18, menyedari kelibat buaya tersebut.

“Mungkin buaya itu juga terkejut melihat kami dan melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit ber­hampiran yang turut dilim­pahi air,” katanya di sini semalam.

Awangku Nazri men­jelaskan, buaya terbabit ter­perangkap di dalam ladang kelapa sawit milik keluar­ganya akibat air pasang yang melanda baru-baru ini.

“Buaya terbabit memang besar dengan anggaran lebih tiga kaki lebar dan panjangnya lebih 10 kaki.

“Saya tidak menjangka buaya sebesar itu boleh merayap naik ke belakang rumah kami ketika banjir besar,” ujarnya.

Awangku Zainal pula memberitahu kelibat buaya itu jelas kelihatan kerana saiznya yang agak besar.

“Sepanjang menetap di kampung ini, itulah per­tama kali saya melihat buaya sebesar itu timbul di sungai ini.

“Kehadiran buaya terba­bit memang mengejutkan kerana tidak menyangka ia hampir naik ke kawasan dapur rumah rakan saya ketika kami sibuk mengang­kat barang untuk dipin­dahkan,” katanya.

Beliau berkata, kelibat buaya itu masih jelas di­lihat penduduk kampung di sini kerana dipercayai masih terperangkap dalam kawasan ladang kelapa sawit berhampiran rumah mereka.

“Kami percaya buaya terbabit terperangkap dalam banjir dan masih berlegar-legar di ladang kelapa sawit mencari jalan untuk kembali ke sarangnya,” katanya.

Mereka turut bersyukur kerana tiada kejadian buruk berlaku menimpa keluarga mereka.

Sementara itu, rata-rata penduduk menjelaskan banjir tersebut disifatkan yang terburuk melanda Sundar dan Trusan sejak 2009.

 

Advertisement