Anda di sini

Belum tentu PRK Balingian diadakan

Advertisement

SIDANG MEDIA: Muhyiddin (tengah) bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas menunaikan solat Jumaat dan Kenduri Rakyat di Masjid Darul Taqwa di Lundu semalam. Turut kelihatan Jabu (kiri) dan Adenan. — Gambar Chimon Upon

LUNDU: Kerajaan tidak akan campur tangan dalam urusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terutama melibatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian yang akan dikosongkan oleh penyandangnya Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di sini semalam berkata, pihaknya belum menerima sebarang pengumuman rasmi daripada wakil-wakil berkenaan mengenai kekosongan kerusi DUN tersebut.

“Saya tidak tahu mengenai perkara ini dan belum ada apa-apa pengumuman oleh calon atau wakil kita Barisan Nasional (BN) mengenai kekosongan kerusi DUN Balingian selepas penyandangnya (Pehin Sri Taib) mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri berkuat kuasa 28 Februari.

“Tetapi jika SPR merasakan bahawa PRK bagi DUN Balingian patut diadakan serentak dengan PRK DUN Kajang ia adalah terpulang kepada mereka kerana kita tidak boleh campur tangan dalam urusan SPR.

“Bagaimanapun, setakat ini belum ada apa-apa pengumuman rasmi mengenai perkara ini jadi kita tunggu sahaja dahulu,” kata Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN Pusat dan Timbalan Presiden UMNO.

Ditanya mengenai tohmahan pembangkang yang menyamakan PRK Balingian merupakan satu pembaziran sama seperti DUN Kajang, Muhyiddin berkata soal sama ada akan adanya PRK atau tidak ia belum lagi dapat dipastikan.

“Seperti yang telah saya jelaskan tadi, kita tidak tahu bila PRK Balingian akan diadakan atau tidak ada, jadi tiada sebab mengapa ia harus disamakan dengan PRK DUN Kajang,” ujarnya.

Turut hadir pada sidang media tersebut, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta Menteri Tugas-Tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

Dalam pada itu, Pehin Sri Taib sebelum ini mengatakan bahawa beliau akan mengosongkan kerusi yang disandangnya itu sejak Pilihan Raya Negeri 2001 susulan peletakan jawatannya sebagai Ketua Menteri.

Kekosongan tersebut, katanya, akan dimaklumkan oleh Ketua Menteri baharu Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkuat kuasa 1 Mac ini kepada Speaker DUN Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar.

Pehin Sri Taib juga berpendapat bahawa selepas peletakan jawatannya adalah menjadi tanggungjawab Ketua Menteri baharu untuk memutuskan dan mungkin tugas pertamanya ialah berbincang dengan semua rakan-rakan dalam BN berhubung calon bagi DUN Balingian.

Advertisement