Anda di sini

Bantuan kepada nelayan perlu telus dan adil

Advertisement

SIBU: Golongan nelayan di Sungai Tulai, Bintangor di sini mengharapkan kerajaan berlaku telus dan adil dalam mengagihkan bantuan nelayan kepada yang memerlukan.

Rata-rata para nelayan di situ amat memerlukan bantuan dalam memudahkan kegiatan mereka dijalankan.

Bagi Ancheh Atien, 44, beliau mendakwa bantuan yang diagihkan itu terdapat penyelewengan daripada pihak berkenaan kepada orang yang bukan nelayan.

“Penerima seperti kami sehingga kini masih belum menerima bantuan nelayan meskipun banyak kali memohon.

“Orang yang bukan nelayan pula yang menerima bantuan. Lain pula jadinya,” katanya di sini semalam.

Ancheh memberitahu, beliau hairan kenapa dan bagaimana golongan bukan nelayan mendapat bantuan sedangkan golongan nelayan sebenar gagal mendapatkan bantuan berkenaan.

Jelasnya, bantuan itu di bawah e-Kasih membolehkan beberapa nelayan di rumah panjang mereka menerima bantuan seperti perahu dan enjin sangkut.

“Saya pernah dipanggil oleh pejabat berkenaan untuk temu duga semasa proses permohonan bantuan itu, namun sehingga kini masih gagal diluluskan,” tegasnya.

Tambahnya, kerajaan melalui agensi berkenaan harus melakukan tapisan sistematik bagi membolehkan golongan nelayan yang benar-benar layak sahaja mendapat bantuan agar tidak berlaku sebarang keciciran.

Jiram Asing, 66, turut melahirkan rasa kecewa selepas permohonannya mendapat bantuan gagal malah lebih menyedihkan apabila mendapati golongan bukan nelayan menerimanya.

“Hingga sekarang kami masih menggunakan perahu dan enjin sangkut sendiri untuk menjalankan kegiatan. Kadang-kadang apabila rosak kami sendiri membaikinya.

“Justeru, kita tidak boleh menjalankan pencarian lebih jauh ke hulu sungai untuk mencari ikan disebabkan keadaan kelengkapan agak usang. Itulah tujuan kami memohon bantuan tetapi lain pula yang menerimanya,” jelasnya.

Menurutnya, usaha kerajaan membantu meningkatkan taraf hidup golongan nelayan adalah sangat baik tetapi cara pihak terbabit menyalurkan bantuan itu kurang tepat.

Ini kerana, golongan sangat memerlukan bantuan itu tidak menerima malah golongan bukan nelayan yang dapat.

“Kalau boleh agensi berkenaan harus menjalankan tinjauan terperinci mengenai pemohon yang memohon bantuan nelayan.

“Jangan sekadar berdasarkan rasa ‘kasihan’ sahaja. Cuba siasat latar belakang pemohon yang memerlukan biar bantuan yang diagihkan adil,” katanya.

Advertisement