Anda di sini

17 pelajar Maahad Tahfiz tinggal sehelai sepinggang asrama terbakar

Advertisement

KUANTAN: Sebanyak 17 pelajar Maahad Tahfiz Muhammadiah, Bukit Rangin di sini tinggal sehelai sepinggang apabila bangunan madrasah dua tingkat yang turut menempatkan asrama mereka musnah dalam kebakaran malam kelmarin.

Kebakaran berlaku kira-kira jam 10 malam dipercayai bermula dari stor di tingkat atas yang turut menempatkan pejabat, surau dan dua bilik asrama.

Menurut warden asrama Zamroni Husaini, ketika kejadian beliau sedang tidur di tingkat bawah sebelum terasa bahang panas dan terhidu bau asap.

“Tiba-tiba saya terasa bahang panas dan apabila tersedar, saya lihat api sudah marak di seluruh bangunan.

“Saya berlari keluar tanpa dapat menyelamatkan apa-apa sebelum bertindak menghubungi bomba untuk memaklumkan kejadian dan mujurlah ketika kejadian, semua pelajar menghadiri kuliah di tempat lain,” katanya di tempat kejadian.

Pengetuanya Tengku Muhamad Tengku Jaafar berkata semasa kejadian, beliau bersama 17 pelajar yang berusia lingkungan tujuh hingga 17 tahun sedang mengikuti kuliah agama di Balai Islam dekat Permatang Badak.

“Kebakaran menyebabkan bangunan dua tingkat yang didiami sejak empat tahun lepas rentung dan barangan pelajar seperti pakaian turut musnah yang menyebab kerugian dianggar lebih RM400,000.

“Saya reda dengan ujian ini dan kini semua pelajar akan ditempatkan di bangunan bersebelahan yang kebetulan baharu siap dibina,” katanya.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata anggota dari balai Indera Mahkota, Bukit Ubi dan Taman Tas berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh setengah jam.

“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan derma kepada madrasah tersebut boleh menghubungi pengetuanya melalui talian 013-9380762/09-5366409 ataumelalui akaun bank Muamalat (0601-0002791-71-2) Maahad TahfizMuhammadi @ Bank Islam (06-019-02-018201-3) Tengku Muhamad Tengku Jaafar. — Bernama

Advertisement