Anda di sini

Sabah penyumbang terbesar rokok seludup

Advertisement

KOTA KINABALU: Sabah direkodkan sebagai negeri penyumbang terbesar dengan catatan 80 peratus daripada penjualan pasaran rokok seludup di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Malaysia Datuk Matrang Suhaili berkata, hasil kajian pihaknya mendapati 35 peratus daripada rokok yang dijual di negara ini adalah rokok seludup dengan Sabah sebagai negeri tertinggi dicatatkan bagi penjualan komoditi kontraban itu.

“Pada masa ini, kajian mendapati bahawa 35 peratus daripada rokok yang dijual di seluruh Malaysia adalah rokok kontraban atau seludup.

“Di Sabah, peratusan rokok seludup adalah lebih tinggi iaitu kira-kira 80 peratus, yang bermakna 10 paket rokok yang dijual di pasaran negeri ini, lapan paket daripadanya ialah rokok seludup,” katanya.

Mengulas lanjut, Matrang berkata aktiviti penyeludupan rokok menyebabkan kerajaan kehilangan RM1.9 bilion dari hasil rokok yang tidak dapat dikutip setiap tahun.

“Setiap tahun kita mengutip RM3.5 bilion cukai ke atas rokok dan ia menyumbang sebanyak 11 peratus kepada kutipan hasil JKDM iaitu sebanyak RM33.1 bilion.

“Bagaimanapun, aktiviti penyeludupan rokok mengakibatkan kerajaan rugi dan fakta secara jelas menggambarkan betapa besarnya hasil yang hilang akibat daripada aktiviti terbabit,” katanya sambil menegaskan JKDM akan mengambil tindakan dan langkah yang serius dan agresif dalam menangani gejala berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap bersempena perasmian Ops Pacak III di perkarangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), di sini, kelmarin.

Matrang berkata, kelancaran Ops Pacak yang memasuki edisi ketiga itu bakal memberi impak positif dalam menangani penjualan rokok secara haram di negeri Sabah.

Advertisement