Anda di sini

Lelaki putus cinta masuk hutan untuk bunuh diri

Advertisement

SANDAKAN: Gara-gara putus cinta, seorang lelaki bertindak melarikan diri ke dalam hutan untuk membunuh diri di Batu 6, malam Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, mangsa dikenali sebagai Tan Vui Leong, 30, masih belum ditemui sehingga kelmarin.

“Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, adik mangsa melihat mangsa tanpa arah tujuan lari ke dalam hutan berkenaan akibat putus cinta,” katanya.

Beliau berkata, mangsa ada memanggil adiknya sehingga suara mangsa hilang dan tidak dapat dihubungi melalui telefon bimbit.

Pihak polis yang menerima maklumat dari adik mangsa berhubung kejadian itu meminta bantuan anggota bomba bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sekitar hutan berkenaan, katanya.

Rowell berkata, kira-kira jam 11 malam operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan dan disambung semula kelmarin.

Difahamkan mangsa baru sahaja tiba dari Kuala Lumpur bersama adiknya bagi bertemu teman wanitanya di Bandar Utama Batu 6.

Teman wanita mangsa dikatakan memutuskan hubungan mereka dan selepas itu mangsa berjalan-jalan tanpa arah tuju sebelum bertindak masuk ke dalam hutan berkenaan.

Dalam kes berasingan, Rowell memberitahu seorang lagi lelaki warga Indonesia ditahan oleh pihak polis bersabit kes curi komponen traktor yang diletakkan di Jalan Dato The Batu 8.

Beliau berkata, suspek berumur 25 tahun ditahan di simpang sebuah ladang kepala sawit di Kilometer 75 Jalan Sandakan-Kinabatangan, jam 12.30 pagi Khamis.

Sebelum ini, pihaknya menahan dua lelaki dan dua wanita serta merampas semula komponen traktor yang dicuri itu yang diletakkan di belakang sebuah kereta jenis Toyota Avanza kira-kira jam 4.40 petang di kawasan letak kereta Bandar Utama Batu 6.

Rowell berkata, pihaknya menjalankan siasatan kes ini mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan iaitu mencuri komponen kenderaan.

 

Advertisement