Anda di sini

Wong amat yakin Adenan terajui S’wak ke hadapan

Advertisement

KUCHING: Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh mempunyai keyakinan begitu tinggi ke atas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem untuk meneraju Barisan Nasional (BN) dan negeri ini ke hadapan.

Beliau berkata, Adenan mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin yang mampu meneruskan hala tuju negeri yang telah ditetapkan oleh Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebelum ini.

“Saya mempunyai keyakinan tinggi seorang pemimpin berkebolehan, Adenan Sateem akan meneruskan apa yang ditinggalkan dan legasi (Taib).

“Adenan Satem merupakan seorang pemimpin yang terbukti dapat membawa kita maju ke hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Wong pada masa yang sama turut memberitahu, beliau agak bersedih kerana Taib meninggalkan dunia politik.

Sambil menyatakan keputusan itu perlu dihormati, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Taib yang telah membimbing BN dan negeri ini khasnya dari segi kebebasan budaya dan agama.

“Tidak ada tempat lain yang mengalami peralihan kuasa dengan lancar seperti ini. Beliau (Taib) telah meninggalkan asas yang baik dan membuka laluan yang baik bagi masa depan lebih baik dan saya yakin Adenan mampu meneruskannya,” katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom memberitahu Taib memilih Adenan sebagai pengganti memandangkan mereka adalah ‘Rakan Sepejuangan.’

“Bukan setakat ipar, mereka (Taib-Adenan) adalah Rakan Seperjuangan. Jadi segi kualiti kepimpinan dan hala tuju masa depan negeri ini, tidak perlu dibimbangkan.

“Pehin Sri (Taib) dan Tan Sri Adenan adalah rakan sekutu sejak Pehin Sri menjadi Ketua Menteri manakala yang lain (Timbalan Presiden PBB Abang Johari dan Naib Presiden Kanan PBB Awang Tengah) masuk (politik) kemudian. Jadi, siapa lagi yang lebih baik dari Adenan dalam mengenali Ketua Menteri (Taib),” katanya.

Abang Johari dan Awang Tengah merupakan antara nama yang dispekulasi untuk menggantikan Ketua Menteri.

Mawan turut memberitahu, rata-rata rakyat turut berpegang teguh dan menyokong Adenan yang merupakan Ketua Penerangan PBB.

“Isu perpaduan dan bersatu tidak akan timbul apabila Adenan mengambil alih,” katanya sambil menambah Adenan merupakan pembicara lurus, adil, mudah didekati dan merupakan pemimpin berpengalaman.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri James Jemut Masing berkata, Adenan merupakan pilihan sesuai kerana beliau mempunyai kebijaksanaan menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Menteri.

Beliau turut melahirkan keyakinan terhadap Adenan walaupun baharu menjadi Ketua Menteri menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Walaupun tempoh yang sukar akan dihadapinya dalam dua tahun lagi, tetapi saya percaya beliau dapat menghadapinya.

“Saya yakin dalam beberapa bulan nanti beliau akan menubuhkan jentera bagi mempersiapkan Sarawak untuk Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya.

Advertisement