Anda di sini

Warga emas rugi RM20,000 dirompak

Advertisement

PUTATAN: Seorang lelaki warga emas mengharungi detik cemas selepas dirompak sekumpulan penjenayah ketika baharu memulakan perniagaan kedai kopi majikannya di Putatan Court, di sini, awal pagi kelmarin.

Mangsa, 70, yang bekerja sebagai pembantu kedai kopi di premis berkenaan dikatakan rugi lebih RM20,000 selepas penjenayah terbabit bertindak menyamun barangan berharga termasuk sebuah Perodua Kenari milik majikannya dalam insiden berlaku kira-kira jam 5.30 pagi itu.

Turut difahamkan, mangsa diacukan sebilah parang oleh salah seorang daripada tiga suspek dalam kejadian itu namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku.

Kesemua suspek bertindak melarikan diri sejurus kemudian menggunakan motosikal termasuk Perodua Kenari majikan mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintenden Ratan Kumar Singh ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan siasatan lanjut termasuk mengesan suspek yang terlibat dalam insiden itu.

Advertisement