Anda di sini

TPM tiba untuk lawatan kerja dua hari ke Sarawak

Advertisement

LAWATAN KERJA: Muhyiddin (kanan) tiba di LTAK semalam untuk lawatan kerja ke Sarawak. Turut kelihatan Jabu dan Awang Tengah (kiri).

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini semalam untuk rangka lawatan kerja selama dua hari ke Sarawak.

Beliau yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sekitar jam 5.30 petang disambut Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang juga Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan beberapa menteri kabinet negeri.

Muhyiddin memulakan lawatan kerja beliau dengan mengadakan perjumpaan khas bersama pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Hari ini, pada sebelah pagi Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan dijadual mengadakan pertemuan khas dengan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau kemudiannya dijadual membuat pemeriksaan harga barang di pasar raya E-Mart Matang sebelum menghadiri majlis dialog bersama Persatuan Pengguna dan Penjaja di sebuah hotel di sini.

Pada sebelah malamnya pula, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan bersama kepimpinan dan jawatankuasa parti komponen BN Sarawak diikuti majlis makan malam.

Beliau akan meneruskan lawatan kerjanya dengan menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu pada pagi Jumaat.

Ia disusuli dengan solat Jumaat bersama masyarakat setempat sebelum menghadiri Majlis Kenduri Rakyat di Masjid Darul Taqwa.

Muhyiddin dan rombo-ngannya akan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada petang yang sama.

Advertisement