Anda di sini

Seorang maut, dua cedera dalam tembakan di Melikin

Advertisement

SERIAN: Seorang daripada tiga pekerja sebuah syarikat perladangan kelapa sawit di Melikin di sini yang ditembak dipercayai dengan senapang patah meninggal dunia akibat tembakan di dada serta mukanya, semalam.

Mangsa yang maut ialah John Wong Toh Kiong, 46, berasal dari Nyebong Padi, Sarikei manakala dua yang tercedera ialah penolong pengurus kanan syarikat berkenaan Andrew Wong King Kiat, 40, dan seorang lagi yang hanya dikenali sebagi Law.

Menurut Ketua Polis Daerah Serian, DSP Mohd Jamali Umi semasa kejadian John bersama dua lagi mangsa dalam perjalanan menuju ke pejabat mereka menaiki sebuah pikap jenis Toyota Hilux sekitar jam 12.10 tengah hari.

“Ketiga-tiga mangsa menaiki kenderaan jenis Hilux di jalan utama ladang sawit berkenaan menuju ke pejabat mereka yang terletak kira-kira satu kilometer di hadapan sebelum berlaku tembakan disyaki dari atas bukit sehingga terkena ketiga-tiga mangsa,” kata Jamali.

Menurutnya, John yang juga pemandu pikap tersebut terkena tembakan di bahagian dada dan muka meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Law dan Andrew yang juga terkena tembakan di dada serta tangan dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

“Pihak kita masih menjalankan siasatan di tempat kejadian dengan bantuan daripada Unit Forensik serta Pasukan Gerakan Am (PGA), selain turut membuat sekatan jalan raya di beberapa lokasi untuk menjejaki suspek,” ujarnya.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Muhammad Sabtu Osman semasa dihubungi memberitahu pihaknya masih menyiasat motif kejadian tersebut.

“Motif masih dalam siasatan tetapi kita percaya mungkin tidak ada kaitan dengan isu tanah kerana difahamkan kebanyakan pekerja di ladang sawit berkenaan juga adalah penduduk kampung di kawasan berkenaan,” katanya.

Sejak setahun lalu, penduduk kampung di Melikin mendakwa tanah adat mereka telah dicerobohi secara haram dan mereka menjadi mangsa keganasan dan ugutan samseng yang didakwa diupah oleh syarikat perladangan.

Selain itu, mereka turut menuduh polis tempatan gagal bertindak terhadap laporan polis yang dibuat oleh mereka, tetapi ia disangkal oleh Jamali dalam satu sidang media pada November tahun lepas.

Menurut Jamali, mereka telah melakukan serbuan pada 30 September lepas di mana beberapa senjata berbahaya termasuk senapang dan peluru hidup telah dirampas daripada kuarters pekerja di ladang kelapa sawit di Balai Ringin.

Advertisement