Anda di sini

Seleweng diesel subsidi terus dibanteras

Advertisement

HASIL RAMPASAN: Stanley sedang memeriksa minyak diesel yang dirampas dari sebuah kapal nelayan tempatan yang ditahan di kawasan baraj Sejingkat, Kuching. — Gambar Jeffrey Mostapa

Tiga rampasan berjumlah 58,000 liter dilakukan dalam tempoh dua bulan tahun ini

KUCHING: Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini sahaja, tiga rampasan telah dilakukan ke atas kes berkaitan penyelewengan minyak diesel subsidi di negeri ini dengan jumlah sebanyak 58,000 liter dan nilai sitaan RM240,000.

Menurut Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Sarawak Stanley Tan, dua kes adalah direkodkan di Kuching iaitu hasil operasi bersama antara PPDNKK Sarawak dan polis, manakala satu lagi adalah kes serahan oleh Polis Marin Miri.

“Kesemua kes adalah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu berkaitan penyelewengan minyak diesel subsidi.

“Ekoran kes-kes ini, kita akan terus membuat penguatkuasaan pada masa akan datang bagi memastikan penyeludupan minyak diesel subsidi dapat dikurangkan di Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas memeriksa hasil rampasan minyak diesel di pangkalan Polis Marin Bintawa di sini, semalam.

Stanley berkata, rampasan pertama yang direkodkan adalah pada 28 Januari lalu iaitu melibatkan kandungan minyak diesel sebanyak 37,000 liter dengan nilai sitaan RM74,000.

Jelas beliau, kes tersebut merupakan serahan oleh polis marin Miri di mana sitaan telah dilakukan di sebuah stor di kawasan Estet Perindustrian Piasau.

Manakala rampasan kedua, katanya, adalah pada 5 Februari lalu di sebuah stesen minyak di Siburan, Jalan Kuching-Serian iaitu melibatkan sebuah kenderaan Pajero yang membawa muatan minyak diesel sebanyak RM1,000 liter.

Nilai sitaan bagi kes tersebut adalah RM26,000 di mana seorang lelaki dalam lingkungan usia 30 tahun telah ditahan ketika sedang mengepam minyak diesel ke dalam tangki besi yang diubahsuai dan disimpan di belakang kenderaan tersebut.

Sementara rampasan terbaru, menurut Stanley, direkodkan pada 10 Februari lalu iaitu melibatkan sebuah kapal nelayan tempatan yang membawa muatan minyak diesel sebanyak 20,000 liter di kawasan baraj Sejingkat di sini, dengan nilai sitaan sebanyak RM140,000.

Turut ditahan seorang juragan dan awak-awak warga asing yang berusia dalam lingkungan 30-an di mana kedua-duanya kini diambil keterangan untuk membantu siasatan.

“Kesemua kes masih dalam siasatan, mungkin minyak diesel yang dirampas ini akan diseludup ke negara jiran atau dibekalkan kepada industri-industri di kawasan sekitar,” kata Stanley.

Hukuman ke atas kesalahan- kesalahan tersebut bagi orang perseorangan (kesalahan pertama) ialah denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan kedua boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

Bagi badan korporat dan syarikat (bagi kesalahan pertama) boleh didenda tidak melebihi RM250,000 dan bagi kesalahan berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM500,000.

Advertisement