Anda di sini

Sekolah penting realisasi aspirasi negara

Advertisement

TERIMA KASIH KERAJAAN: Murid-murid dari empat sekolah rendah di kawasan Hulu Undop menunjukkan tanda bagus sebagai tanda terima kasih atas pemberian beg sekolah pada majlis tersebut. Kelihatan dalam gambar, Harden (duduk tengah), Masir (tiga kiri), Michael (dua kiri), Edmund (kiri), Leonard (dua kanan) serta yang lain.

Sokongan, kerjasama semua perlu lahir generasi mampu tangani cabaran, kata Harden

SRI AMAN: Sekolah memainkan peranan amat penting untuk merealisasikan aspirasi negara di samping tempat pelajar menimba ilmu pengetahuan bagi melahirkan lebih ramai rakyat yang berjaya dan menyumbang kepada agenda pembangunan negara.

Bagaimanapun, usaha itu perlu mendapat sokongan dan kerjasama daripada semua pihak terutama guru-guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan masyarakat setempat, kata Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan Datuk Francis Harden Hollis.

Menurut beliau, abad ini menjanjikan pelbagai kemungkinan di mana kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) melahirkan fenomena globalisasi atau dunia tanpa sempadan.

“Untuk menikmati kejayaan berterusan dalam persekitaran global yang mencabar ini, kita perlu menyedia dan melengkapkan diri para pelajar dengan pelbagai ilmu pengetahuan, kemahiran tinggi yang inovatif, memiliki jati diri dan beretika secara berterusan dalam usaha mempertingkatkan keupayaan generasi muda dalam menangani perubahan dan cabaran dengan cekap dan berkesan,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Program MEMBARA (Membantu Rakyat) ‘Kembali Ke Sekolah’ dan Penyerahan Bantuan Persekolahan anjuran Jabatan Hal Ehal Khas (JASA) Sarawak Bahagian Sri Aman dan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang Undop, kelmarin.

Harden berkata, untuk memperkasakan pelbagai ilmu pengetahuan, kebolehan berkomunikasi terutama dalam bahasa Inggeris dan penerapan pelbagai kemahiran di kalangan pelajar menjadi agenda utama bagi sesebuah sekolah.

Bagaimanapun katanya, penguasaan ilmu dan berketerampilan sahaja tidak mencukupi sekiranya faktor nilai-nilai murni tidak dijadikan pedoman.

“Nilai-nilai moral inilah yang akan memberi petunjuk dan pedoman kerana merupakan inti pati sahsiah yang sangat penting sebagai pegangan generasi muda untuk menempuh kehidupan yang penuh cabaran,” katanya.

Tambah Harden lagi, pembangunan modal insan ini perlu dirancang teliti dengan menggunakan kaedah menyeluruh dan bersatu agar segala bakat dan potensi para pelajar dapat dibangunkan dengan efektif.

“Kita tidak mahu melahirkan ulat buku yang hanya cemerlang dari segi akademik semata- mata, sebaliknya generasi yang seimbang perkembangannya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual, mempunyai disiplin diri yang tinggi, berketerampilan, patriotik dan tidak bersikap individualistik, malah mampu memainkan peranan dalam masyarakat.

“Usaha ini selaras dengan dua daripada enam teras strategik Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu membina negara bangsa dan membangunkan modal insan.

“PIPP merupakan wadah terbaik sebagai pemangkin kepada wawasan kerajaan untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020,” katanya.

Justeru, jelasnya, dengan adanya gandingan mantap antara pihak sekolah dengan pihak PIBG, akan menjadikan sekolah lebih beraspirasi untuk meningkatkan pencapaian akademik dan kokurikulum pelajar agar terus cemerlang serta dapat meningkatkan penglibatan dan rasa tanggungjawab ibu bapa serta komuniti terhadap sekolah.

“Hubungan rapat dan mesra ini akan meningkatkan iklim pembelajaran kondusif yang faedahnya akan dinikmati oleh para pelajar,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis berkenaan Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, Guru Besar SK Batu Lintang Leonard Libau, Pegawai JASA Sri Aman Whelthon Lumpoi, Pegawai Khas kepada Masir Edmund Pirang, Penghulu Michael John serta yang lain.

Pada majlis itu, Harden mengumumkan peruntukan masing- masing bernilai RM10,000 kepada PIBG SK Batu Lintang Undop dan Majlis Guru-Guru Besar Zon Undop.

Masir pula menyumbang sebanyak RM5,000 kepada PIBG sekolah berkenaan.

Seramai 153 murid prasekolah, tahun satu hingga tiga dari SK Batu Lintang Undop, SK Nanga Klassen, SK Paku Undop dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Undop menerima sumbangan beg sekolah daripada JASA Sri Aman pada majlis tersebut.

Advertisement